Ismail Mohamed Said

KUALA LUMPUR – Polis sentiasa memantau dan menjalankan operasi secara terancang serta berterusan dalam menangani masalah perjudian dalam talian ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, beberapa langkah turut diambil polis untuk membanteras kegiatan itu termasuk orang perseorangan atau kumpulan sindiket.

Antara langkah diambil dan dirancang polis ialah mengadakan operasi dan serbuan secara berterusan melalui Ops Dadu termasuk operasi bersepadu dengan kerjasama agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melumpuhkan kegiatan itu.

“Langkah lain ialah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menyekat laman sesawang perjudian di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi Multimedia.

“Kita juga bekerjasama dengan syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat bekalan air untuk tindakan pemotongan bekalan eletrik dan air ke atas premis yang sering digunakan oleh sindiket perjudian,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Polis Diraja Malaysia juga mengambil tindakan ke atas pihak yang terlibat dalam kegiatan itu termasuk penjaga premis dan penganjur kegiatan perjudian haram di bawah peruntukan undang-undang berkaitan judi sedia ada seperti Akta Rumah Judi Terbuka 1957 dan Akta Pertaruhan 1953.

Selain itu, kata Ismail, tindakan lebih keras diambil di bawah peruntukan undang-undang lain yang berkaitan iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaian Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Menurutnya, kerajaan juga turut meneliti undang-undang berkaitan judi sedia ada bagi tujuan pindaan penambahbaikan bagi memastikan ia relevan dengan perubahan modus operandi sindiket perjudian terutama atas talian.

“Dalam hal ini kementerian turut dilibatkan dalam kajian undang-undang berkaitan perjudian yang sedang dijalankan oleh Kementerian Kewangan untuk ditambah baik supaya sentiasa selaras dengan perkembangan semasa,” katanya. – MalaysiaGazette