Azizah Mohd Dun

KUALA LUMPUR – Sabah meminta kerajaan Persekutuan menambah peruntukan untuk memaju dan membangunkan kaum Bumiputera negeri itu dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun yang menyifatkan peruntukan RM5.2 bilion untuk infrastruktur dan RM1.5 bilion dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar masih terlalu kecil kerana jumlah tersebut turut membabitkan Sarawak.

“Mungkin di luar sana lihat ini (peruntukan) satu jumlah yang besar, namun bagi rakyat Sabah dengan 27 daerah yang majoritinya terletak di kawasan luar bandar, ianya tentu sekali jumlah yang belum mencukupi.

“Kerana itu, saya minta kerajaan tambah peruntukan dan utamakan keperluan rakyat Sabah kerana dengan peruntukan yang besar dapat meningkatkan lagi kawasan luar bandar, sekali gus merapatkan jurang kaum Bumiputera Sabah di bandar dan luar bandar,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, hari ini.

Menurut Azizah, begitu juga RM11 bilion yang diperuntukan untuk Bumiputera bukan satu jumlah yang besar kerana daripada statistik bilangan kaum itu dalam negara adalah bilang besar iaitu 69.7 peratus dan ramai daripadanya berada di Sabah dan Sarawak.

Katanya, mereka ini memerlukan pembelaan dan amat wajar sekali peruntukan yang besar ini diberikan, apatah lagi Bumiputera ini kebanyakannya berada di luar bandar.

“Permintaan saya ini adalah sebagai usaha untuk kita memajukan mereka ini dan keluar dari kepompong kemiskinan, selain tidak lagi timbul apabila sebut kemiskinan, ia semestinya Sabah.

“Apabila kita dapat memajukan kawasan luar bandar dengan peruntukan yang besar dengan sistem perhubungan jalan yang baik, maka segala hasil dan produk mereka dapat kita bangunkan.

“Ini akan menjadikan mereka mempunyai ekonomi yang lebih baik dan mempunyai pekerjaan, selain industri kecil-kecilan dapat dibangunkan. Hasil atau produk mereka juga dapat dibawa ke bandar untuk dipasarkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, muka bumi Sabah yang luas dengan mempunyai banyak tanah membolehkan kerajaan bangunkan sebagai taman makanan dan mengubah nasib Bumiputera khususnya di luar bandar. – MalaysiaGazette