Reaksi calon Barisan Nasional N.04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bersama Calon Pakatan Harapan N.04 Lendu, Mohamad Asri Ibrahim selepas selesai proses penamaan calon yang ditandingi tiga penjuru pada hari penaman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka N.04 Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Status mana-mana calon, sama ada underdog mahupun heavyweight bukan jaminan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Sebaliknya kemenangan mana-mana parti bergantung kepada pilihan rakyat yang mampu menilai keupayaan calon sebelum diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan negeri Melaka selepas ini, kata bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Saya tak adalah underdog atau heavyweight… pada saya, saya pun fikirkan saya juga underdog, saya tak pernah kata saya sebenarnya heavyweight.

“Tapi underdog atau heavyweight di luar sana, rakyat sudah bijak menilai dan memilih siapakah yang layak memimpin DUN Lendu, mahupun kawasan-kawasan lain yang bertanding,” katanya kepada pemberita di Dewan Kompleks Japerun Lendu, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghantar borang pencalonan pada jam 9.15 pagi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mempertahankan DUN Lendu yang dimenangi sejak dua penggal lalu.

Sebelum itu, proses penamaan calon tamat pada jam 10 pagi di Dewan Kompleks Japerun Lendu disusuli tempoh bantahan kira-kira 30 minit.

Sulaiman bakal berentap dengan pencabar muka baharu daripada PH-PKR yang diwakili Mohamad Asri Ibrahim dan PN-Bersatu, Abdullah Mahadi.

PRN Melaka pada 20 November ini diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka. – MalaysiaGazette