Gambar yang dimuat naik oleh Adly di laman Facebook yang menunjukkan beliau berkempen menggunakan skuter elektrik

AYER KEROH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari ada cara tersendiri untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Ia  susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu menggunakan skuter elektrik untuk mengedarkan risalah kepada pengundi-pengundi di kawasan beliau bertanding pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh beliau menerusi hantaran pada laman Facebook hari ini.

“Pagi ini turun edarkan risalah di sekitar DUN Bukit Katil. Cuaca cerah pagi ini diharap akan berterusan sehingga ke hari pengundian.

“Pesanan kepada rakyat Melaka, jangan takut untuk keluar mengundi pada 20 November nanti, ikuti SOP yang telah ditetapkan.

“Masa depan lima tahun negeri Melaka terletak di tangan anda. Sayangilah negeri kita. Ini Rumah Kita,” demikian hantaran beliau di laman sosial berkenaan.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu turut memuatnaik tiga keping gambar beliau menggunakan jentera eletrik itu ketika bergerak mengedarkan risalah kempennya.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menegaskan, SOP terkini PRN Melaka melarang kesemua 112 calon yang bertanding mengadakan sebarang aktiviti kempen sama ada secara berhimpun, bersemuka, ziarah rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

Bagaimanapun calon dibenar untuk mengedarkan risalah ke peti surat, selain boleh menggunakan kenderaan bergerak seperti lori dan van.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada hari semalam dan undi awal pada 16 November.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas disebabkan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – MalaysiaGazette