AYER KEROH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, B. Prasant Kumar dilihat terlalu taksub dengan ‘big bos’nya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Calon berusia 27 tahun itu menyatakan bahawa Presiden PKR itu merupakan idolanya sejak dibangku sekolah.
Beliau berkata, pengalaman sukar yang dilalui oleh Anwar yang juga Pengerusi PH sepanjang karier politiknya menjadi pembakar semangatnya kepada beliau untuk menyertai politik ketika berada di tingkatan empat.
“Pada kali ini saya telah menawarkan diri sebagai calon Pakatan Harapan, saya telah diberikan mandat daripada Pakatan Harapan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, oleh Majlis Pimpinan Melaka dan Angkatan Muda Keadilan Malaysia yang dipimpin oleh YB Akmal Nasir.
“Untuk Pilihan Raya Negeri kali ini kita kena lakukan perubahan, angkat suara anak muda di Seri Negeri akan datang,” katanya pada sidang media, secara maya hari ini.
Bagaimanapun, sidang media yang diadakan agak hambar apabila tiada sebarang soal jawab daripada pengamal media ekoran penganjur tidak menyertakan secara online aplikasi percuma (Google Meet).
Berdasarkan pemerhatian, sidang media tersebut kurang mendapat sambutan, malah jumlah tontonannya juga kurang daripada 100.
Sehingga berita ini ditulis, hanya terdapat satu sahaja jawapan balas daripada netizen pada ruangan komen dan tujuh likes daripada pengikut.
Prasant akan berdepan dengan dua lagi pencabar iaitu Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN) dan Azalina Abdul Rahman mewakili Perikatan Nasional (PN).
Beliau bersama dua pencabarnya itu menghantar borang penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Jasin Lipat Kajang, semalam.
Tiada pencalonan daripada wakil Bebas diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di DUN tersebut. – MalaysiaGaazette