Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Sabah meminta kerajaan Persekutuan peruntukan sebanyak 10 peratus daripada Bajet 2022 untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri itu, sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dengan peruntukan kira-kira RM5 bilion setiap tahun, tidak mencukupi untuk memakmurkan negeri itu yang mempunyai keluasan lebih besar daripada Semenanjung.

“Saya minta untuk Bajet 2022 ini, untuk perbelanjaan pembangunan berilah 10 peratus daripada keseluruhan bajet yang dibentangkan. (Kalau) tahun lepas (dapat) RM5 bilion, tahun depan pun (dapat) RM5 bilion, pelaksanaan untuk keluar dari kemiskinan tidak akan tercapai.

“Ini amat membimbangkan rakyat Sabah. Justeru, saya minta kerajaan melihat semula pengagihan peruntukan secara terperinci antara wilayah semenanjung, wilayah Sabah dan wilayah Sarawak.

“Sabah dan Sarawak kalau kita satukan, boleh tenggelam wilayah semenanjung ini, betapa besarnya keluasan wilayah dua negeri ini, tetapi peruntukannya hampir sama dengan negeri lain,” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.

Bung Moktar juga membangkitkan jumlah peruntukan yang diberikan kepada wakil rakyat di Perlis, Melaka dan beliau di Kinabatangan.

“Sepatutnya peruntukan wakil rakyat itu dinilai daripada keperluan mengikut keluasan kawasan,” katanya.

Beliau turut menegur Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) masih tidak menyediakan data bank berhubung peruntukan dan projek yang sedang berjalan dan akan dilaksanakan di setiap Parlimen.

Tegasnya, sehingga kini, apa yang dimintanya tidak dipenuhi oleh kementerian berkenaan.

“Ini amat membimbangkan saya sebab Malaysia sudah lebih 61 tahun merdeka, tetapi pendekatan dan sistem kita masih ditahap tidak ada perubahan dan negara boleh berdepan dengan risiko negatif.

“Sepatutnya kita harus pelajari dari awal bagaimana untuk mengurus setiap negeri, apa keperluan dan apa masalah yang dihadapi. Perundingan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu diadakan secara lebih kerap,” katanya.

Bung Moktar merayu, berilah peruntukan kepada Sabah, biar kerajaan negeri melaksanakan pembangunan dan akan melaporkan pelaksanaannya kepada kerajaan Persekutuan

Bagaimanapun, ujarnya, jika Sabah diberi peruntukan, tetapi diurus oleh kerajaan pusat, nescaya negeri itu tidak akan jadi negeri yang maju dan makmur seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Sedangkan, katanya, Sabah berpotensi untuk dibangunkan sekiranya kerajaan Persekutuan betul-betul ingin melihat pembangunan yang mampan di negeri itu. – MalaysiaGazette