KUALA LUMPUR – Calon DUN Pengkalan Batu dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Prof. Dr. Mohd Aluwi Sari berjanji akan menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan itu jika menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.
Beliau berkata, kegagalan kerajaan negeri terdahulu menyelesaikan masalah itu mendorongnya menawarkan diri untuk berbakti dan berkhidmat kepada rakyat, terutama memastikan masalah banjir dapat diselesaikan.
“Bayangkan dalam tempoh tidak sampai satu bulan, empat kali kawasan DUN ini dan Melaka khususnya dilanda banjir kilat yang menjejaskan kehidupan seharian penduduk.
“Berdasarkan pengalaman yang ada, saya yakin dapat selesaikan masalah ini sekiranya diberi peluang sebagai wakil rakyat bagi kerusi DUN Pengkalan Batu pada 20 November ini,” katanya di Melaka, semalam.
DUN yang ditandinginya menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan bebas.
Proses penyerahan kertas pencalonan semalam, yang mana beliau antara calon pertama menyerahkan borang itu dan diterima tanpa bantahan merupakan petanda baik baginya dan kepimpinan Putra.
Putra meletakkan lima calon bertanding pada PRN Melaka, dengan lagi ialah Exco Pergerakan Wiranita yang juga juga Ketua Wiranita Putra Melaka, Laila Norinda Maon (DUN Gadek); Exco Pergerakan Wira yang juga Ketua Wira Putra Melaka, Mohd Hashidi Mohd Zin (DUN Paya Rumput).
Aktivis Belia MAYC, Sungai Rambai, Nazatul Asyraf Md. Dom (DUN Sungai Rambai); dan Bendahari Surau Taman Addaniah Desa Semerah Padi yang juga Ketua Bahagian Putra Kota Melaka, Mohd Faizal Amzah (DUN Duyong).
Ditanya visi dan misinya menyertai pertandingan itu, Dr. Mohd Aluwi berkata, telah tiba masanya penduduk dan pengundi DUN Pengkalan Batu dan negeri itu khususnya memikirkan hala tuju pembangunan Melaka.
Katanya, rakyat kehilangan pekerjaan dan mata pencarian akibat pandemik Covid-19, tetapi masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya walaupun negeri itu sudah memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
“Saya telah bersedia untuk mengabdikan diri berkhidmat dan bekerja untuk rakyat di DUN ini dan Melaka khasnya. Saya mahu baiki taraf hidup rakyat di negeri saya,” katanya. – MalaysiaGazette