Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi musim tengkujuh sepanjang monson timur laut di lima negeri termasuk tiga negeri di Pantai Timur.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dan daerah telah diarahkan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga, selain membuat persiapan rapi dari segi aspek tenaga kerja, jentera dan logistik.

“Monsun Timur Laut ini biasanya akan bermula pada Oktober hingga Mac tahun berikutnya dengan beberapa siri kejadian hujan lebat dalam tempoh itu.

“Untuk itu, semua jentera dan keperluan logistik telah diselenggara lebih awal bagi menghadapi musim tengkujuh yang akan datang, termasuk kita menghasilkan Peta Bahaya dan Risiko Cerun di sepanjang Jalan Persekutuan tahun lalu.

“Di samping itu, kita juga telah menghadiri beberapa siri libat urus bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi lain dan persiapan dalam persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2021-2022,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.

Jelas beliau, lima negeri yang mungkin terjejas akibat monsun timur laut ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

Kata Fadillah, sebanyak 1,474 cerun yang mempunyai tahap bahaya sederhana sehingga sangat tinggi telah dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun

Cerun berisiko itu, katanya, terletak di Jalan Persekutuan kritikal di lima negeri itu seperti di FT1, FT3, FT4, FT8, FT86 dan FT185.

Menurut beliau, Jalan kritikal itu dikenal pasti berdasarkan jalan alternatif melebihi 50 kilometer, jalan utama, kawasan tanah tinggi, bilangan cerun berkategori sangat tinggi dan sangat bahaya yang banyak dan laluan yang sering berlaku cerun runtuh.

“Kementerian bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR telah memasang sistem amaran awal tanah runtuh di lokasi berisiko melalui penggunaan sistem telemetri yang akan memberi amaran awal apabila apabila stesen tolok hujan melebihi tahap amaran.

“Terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh negara, di mana 36 terletak di Semenanjung Malaysia dan dipasang di Jalan Persekutuan berpotensi berlaku cerun runtuh seperti FT59, FT185, FT4, FT55, FT105 dan laluan kritikal.

“CKC juga akan memberi amaran awal kepada JKR Daerah berdasarkan data hujan yang diperolehi daripada sistem amaran awal tanah runtuh dan data pergerakan cerun yang dipasang pada cerun berisiko,” katanya.

Menurutnya, JKR Daerah akan melakukan rondaan selepas berlaku hujan lebat ke kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku tanah runtuh, di samping mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana apabila berlaku musim tengkujuh bagi memantau dan menyebarkan info kepada pengguna jalan raya.

Katanya, lebuh raya khususnya Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), LPT2, Lebuhraya KLK juga turut dalam pemantauan kerana ia adalah lebuh raya yang paling kritikal kerana terletak di kawasan berbukit dan dikelilingi cerun berisiko tinggi. – MalaysiaGazette