fully vaccinated Omicron variant VOC reinfection rate Malaysia-Singapore Vaccinated Travel Lane VTL Covid-19 positive Antivaxxers dajjal Covid-19 vaccine Khairy Jamaluddin KJ
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) sedaya upaya hendak menyerapkan 10,583 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dalam lantikan kontrak ke jawatan tetap.

Bagaimanapun, Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kementerian itu perlu melihat unjuran keperluan dan implikasi kewangan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan itu.

Beliau berkata, setakat ini, daripada 10,583 pegawai perubatan yang telah tamat tempoh wajib (lantikan kontrak), seramai 4,186 telah dinilai dan boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk lantikan tetap.

Katanya, jumlah yang diperlukan untuk tahun depan pula, daripada 4,186 perjawatan pelantikan tetap itu meliputi 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 lagi pegawai farmasi yang melibatkan kewangan sebanyak RM307,485.89.

“Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu, kerajaan telah membuat keputusan supaya pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib dua tahun ini dilanjutkan tempoh kontrak dua tahun lagi.

“Ini bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan membolehkan pegawai berkenaan membuat persediaan bagi menyambung pengajian kepakaran.

“Oleh itu, menerusi pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini, kerajaan telah bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak kepada 10,583 pegawai perubatan pergigian dan farmasi dengan peruntukan RM336.35 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan berkaitan dengan soalan dari Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, hari ini.

Dalam soalan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson bertanyakan langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak dan halangan kepada kerajaan dalam mengambil mereka berjawatan tetap serta implikasi tambahan kewangan kementerian jika kerajaan menyetujui pengambilan mereka.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kerajaan juga akan menyediakan kira-kira RM100 juta untuk dimanfaatkan oleh 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian bagi penajaan program kepakaran.

“Seperti mana dimaklumkan sebelum ini, sebuah jawatankuasa khas telah ditutbuhkan bagi mendapatkan penyelesaian jangka masa panjang terhadap isu lantikan kontrak ini.

“Jawatankuasa ini sedang meneliti keperluan bagi pindaan kepada beberapa akta yang berkaitan termasuk Akta Perubatan dan Akta Pergigian,” katanya.

Selain itu, katanya, KKM bersama JPA juga masih meneruskan perbincangan bagi membuat pindaan kepada Akta Pencen bagi melihat kesesuaian penawaran lantikan secara tetap dengan lebih lestari kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengenai soalan tambahan Anwar yang mendesak kerajaan supaya memberi keadilan kepada pegawai perubatan itu, Khairy berkata, pendiriannya dengan ketua pembangkang tidak jauh beza.

“Saya rasa pendirian saya juga menghampiri (menyamai) Ketua Pembangkang bahawa apa yang diperlukan itu perlu dilantik secara tetap dan sekarang ini kita melihat daripada jumlah itu, berapa ramai yang diperlukan dari segi unjuran keperluan KKM,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Beaufort), beliau berkata, unjuran itu dalam peringkat persediaan memandangkan sekarang ini JPA memintanya daripada KKM berapa ramai doktor yang diperlukan untuk tahun akan datang.

“Sebab itu kita dalam proses menyediakan unjuran kita supaya kita dapat kemukakan kepada JPA dan Kementerian Kewangan keperluan berdasarkan unjuran dan keperluan untuk doktor itu dilantik secara tetap.

“Sejak akhir 2016 lagi, setiap doktor dan pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak melibatkan lebih 24,000 dilantik secara kontrak, sedangkan yang ditawarkan secara tetap hanya lebih 1,000 orang sahaja.

“Ini masalah legasi lama yang perlu kita atasi segera dan kita tidak pasti kalau kita dapat serapkan semua yang ada di bawah kontrak, tetapi kita akan mulakan dengan unjuran keperluan dulu,” tegasnya.

Beliau memberi jaminan unjuran keperluan itu akan usahakan supaya kerajaan atau KKM dapat menyerapkan semua mereka dalam perkhidmatan tetap. – MalaysiaGazette