Gambar hiasan

PADA 1 November 2021 yang lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mula menguatkuasakan larangan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina. Penjualan bir pula dihadkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam sahaja, di sudut khas berasingan dengan minuman lain dan hanya untuk pembeli berumur 21 tahun ke atas sahaja.

Selaku rakyat Malaysia, kita amat menyambut baik pengumuman ini setelah sekian lama kita menyuarakan kebimbangan berkaitan kesan buruk arak kepada masyarakat, terutama peningkatan kes kemalangan pemandu mabuk. Kita juga mengharapkan hal sama akan dilaksanakan di negeri-negeri lain.
Namun amat mengecewakan apabila ada pihak yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap hal ini.
Antaranya kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting yang menyifatkan larangan itu sebagai satu tindakan terkebelakang dan telah menjejaskan matlamat ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berpaksikan kebersamaan.
Ternyata, kenyataan ini tidak menggambarkan aspirasi majoriti rakyat Malaysia.
Jika mengambil konsep “Keluarga Malaysia” misalnya, salah satu daripada 20 Pengkayaan Nilai yang digariskan ialah “Membudayakan Amalan Sihat Fizikal dan Mental” dan jelas nilai ini tidak mampu tercapai sekiranya penjualan arak tidak disekat.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudaratan alkohol kepada sistem saraf dan otak (neuropsychiatry) merupakan kesan jangka panjang alkohol yang paling kerap dilaporkan dalam kalangan orang dewasa.
Kajian jurnal perubatan antarabangsa The Lancet pada 2018 pula menyimpulkan bahawa pengambilan alkohol, tanpa mengambil kira sebarang amaun terbukti mengakibatkan tahap kesihatan individu makin merosot.
Kemudian mengambil contoh kes kemalangan akibat pemanduan mabuk yang hangat dibincangkan sebelum ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menyimpulkan pemandu di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan berbanding pemandu yang bebas daripada pengaruh alkohol.
Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani dalam sebuah program bual bicara pada 2020 pula menyatakan kes berkaitan pemandu mabuk di negara ini menunjukkan trend peningkatan yang ketara berbanding 2018.
Jumlah kes pada separuh tahun 2020 sahaja hampir menyamai jumlah keseluruhan kes bagi tahun 2019.
Mengambil contoh statistik dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor bagi tempoh Januari hingga Mei 2020, Selangor mencatatkan 67 jumlah kemalangan dengan tiga kematian, lebih tinggi berbanding sepanjang tahun 2019 yang mencatatkan 56 kemalangan dengan empat kematian.
Melihat dari aspek lain pula, jika dikatakan tindakan mengehadkan penjualan arak sebagai terkebelakang, mari kita lihat amalan di beberapa buah negara maju.
New Zealand telah lama mengehadkan waktu penjualan alkohol. Premis yang menghidangkan alkohol hanya dibenarkan berurus niaga dari jam 8 pagi hingga 4 pagi keesokannya, manakala kedai biasa atau pasaraya hanya dibenarkan menjual antara jam 7:00 pagi dan 11 malam sahaja. Bahkan ada sekatan tambahan waktu urus niaga pada hari cuti umum seperti Krismas dan Hari Easter.
Di California, alkohol hanya boleh dijual dari jam 6 pagi hingga 2 pagi hari berikutnya. Malah penghantaran arak ke premis-premis menjual arak hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Sabtu, dari jam 3 pagi hingga 8 malam sahaja.
Malaysia sebagai sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan sudah pasti lebih berhak mengenakan sekatan dan had larangan tertentu untuk penjualan arak ini. Apalagi majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.
Jika Nicole Wong menyifatkan larangan itu sebagai satu tindakan terkebelakang, sedangkan jelas bertentangan dengan amalan beberapa negara maju yang lain, ditambah pelbagai kajian akademik telah pun membuktikan bahawa tiada paras selamat bagi penggunaan alkohol (no safe level of alcohol consumption), maka timbul persoalan, siapa sebenarnya yang terkebelakang?
Apabila kenyataan itu dikeluarkan oleh beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, timbul satu lagi persoalan, apakah aspirasi yang ingin dibawa oleh MCA buat para pemuda di negara ini?
Ahmad Hisyam Sabrani
Naib Yang Dipertua ISMA Kuala Lumpur

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast