Bantuan Kehilangan Pendapatan BKP RM500 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Indonesia selama tiga hari, bermula hari ini hingga 11 November ini.

Beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan pegawai kerajaan dari kementerian serta agensi berkaitan.

Ismail Sabri dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, lawatan rasmi itu akan membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala yang sedia kukuh dan pelbagai antara Malaysia dan Indonesia.

“Ia akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin negara untuk meneroka peluang kerjasama dalam usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.

Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan perkembangan penting dalam rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN serta cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran rantau ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam rangka lawatan rasmi itu, Ismail Sabri akan mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia, Ketua-ketua Editor Indonesia, diaspora Malaysia di Indonesia serta menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian (MoU) antara kedua-dua negara.

Beliau juga turut melawat fasiliti industri pertahanan di wilayah Bandung.

Lawatan rasmi itu akan dilaksanakan dengan mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan Indonesia. – MalaysiaGazette