Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak dunia naik pada sesi ketiga pada hari Selasa susulan kelulusan Rang Undang-Undang Infrastruktur Amerika Syarikat, eksport China dan pemulihan pasca-pandemi global meningkatkan prospek permintaan bahan api.

Minyak mentah Brent naik AS$0.08 sen kepada AS$83.51 setong menjelang 0220 GMT, selepas menokok 0.8% pada hari Isnin.

Manakala minyak Amerika Syarikat (AS) menokok AS$0.10 kepada AS$82.03 juga selepas kenaikan 0.8% pada hari sebelumnya.

Rang Undang-Undang Infrastruktur bernilai AS$1 trilion itu telah lama tertangguh – yang diluluskan oleh Kongres pada hujung minggu – dan eksport China yang lebih baik daripada jangkaan membantu memberi gambaran ekonomi global yang lebih meluas.

“Lebih banyak pertumbuhan penggunaan menanti apabila pengembaraan bermula semula dan permintaan bahan api pesawat meningkat,” kata Penganalisis Komoditi JPMorgan Chase dalam nota penyelidikannya.

Bank AS juga berkata, permintaan global untuk minyak pada November sudah hampir kembali ke paras pra-pandemi iaitu 100 juta tong sehari.

Tetapi apabila pengeluar utama mengekalkan disiplin bekalan yang ketat pada bulan Oktober, harga minyak meningkat kepada paras tertinggi tujuh tahun, dengan nilai bahan api juga meningkat. – Reuters