child marriage Minister of Youth and Sports (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu Sports Victory Prize Scheme Incentive (SHAKAM) to national shot put Paralympic athletic, Muhammad Ziyad Zolkefli
Ahmad Faizal Azumu

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan tiada ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan akan diberikan kepada jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagaimanapun terdapat pihak-pihak tertentu yang ingin menyampaikan tawaran lain kepada Ziyad.

“Saya akan berhubung dengan Ziyad dan akan berbincang dengan beliau tentang ganjaran yang tiada kena mengena dengan peruntukan kewangan kerajaan kerana ada pihak-pihak yang ingin memberi tawaran kepada beliau agar kejayaan yang telah diperolehi tetapi tidak diterima itu dapat diberikan sedikit ganjaran.

“Tapi apakah ganjarannya tidak molek untuk saya umumkan kecuali Ziyad sendiri hendak sampaikan kerana saya sendiri belum maklumkan kepadanya,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Integriti dan Pelancaran Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) Peringkat KBS Tahun 2021 di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut mengingatkan supaya insiden yang berlaku ke atas jaguh lontar peluru berkenaan dijadikan sebagai satu pengajaran kepada jurulatih dan barisan atlet lain.

“Jangan kita gelar ia sebagai hukuman, pada saya ia adalah ‘unfortunate event’ yang telah berlaku.

“Kalau kita hendak berikan hukuman pihak kita pun tidak dapat bukti bahawa mereka telah melakukan kesilapan, mereka kata telah tiba tepat pada masanya tetapi gagal membuktikan perkara berkenaan jadi ia adalah peristiwa yang tidak diingini yang berlaku kepada Ziyad dan negara,” katanya.

Tambahnya, susulan daripada itu, para jurulatih dan atlet negara perlu memahami dan memikul tanggungjawab masing-masing dengan baik ketika menghadapi apa jua perlawanan atau kejohanan.

“Perkara yang berlaku ini perlu dijadikan sebagai pengajaran dan teladan agar tidak berlaku pada masa akan datang.

“Pada tahun hadapan ada tiga kejohanan besar iaitu Sukan Asia Tenggara (SEA Games), Sukan Asia dan Sukan Komanwel jadi kita kena pastikan semua pegawai termasuk lah Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara), jurulatih dan atlet perlu faham tanggungjawab masing-masing sebelum pergi ke kejohanan yang besar ini supaya perkara sama tidak berlaku,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas berkaitan bentuk hukuman terhadap Ziyad dan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun, Ahmad Faizal berkata, kedua-dua mereka termasuk seluruh rakyat telah pun menerima satu hukuman yang besar apabila jaguh lontar peluru berkenaan tidak dapat membawa pulang pingat emas dari Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lalu.

“Saya telah pun memikirkan perkara ini secara terperinci selepas mendapat laporan dan kita telah berbincang mengenai perkara ini hampir dua bulan. Saya dapati bahawa mereka iaitu Ziyad, jurulatih, pasukan dan rakyat telah pun dikenakan hukuman apabila dua balingan yang memecahkan rekod dunia tidak diambil kira dan kita tak dapat pulang pingat emas, jadi itu pada saya hukuman yang cukup besar bagi seorang atlet.

“Jika kita kena kan hukuman sebagai contoh, katakan lah gantung jurulatih daripada melatih atlet tetapi jurulatih berkenaan juga telah menggilap bakat yang ada pada Ziyad sehingga membawa pulang pingat emas dari Rio.

“Kita hentikan beliau daripada melatih maka Ziyad akan kehilangan seorang jurulatih jadi pada saya hukuman kita semua telah dapat bukan Ziyad sahaja atau jurulatih kerana kita semua terasa. Kita kena belajar daripada kesilapan yang berlaku bahawa ada perkara yang perlu kita ambil berat dan tidak boleh ambil ringan. Ini pengajaran kepada kita semua.

“Kepada jurulatih Ziyad, beliau bukan sekadar melatih Ziyad tetapi beliau juga merupakan penjaga kerana bukan mudah tanggungjawab melatih seorang yang kurang upaya jadi ini adalah pada saya rakyat perlu faham pengorbanan cukup besar oleh Ziyad dan keluarga serta MSN,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Ziyad terbukti lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaannya dalam acara final lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Rumusan itu dibuat Jawatankuasa Siasatan Dalaman dalam laporan diserahkan kepada Ahmad Faizal. – MalaysiaGazette