Wajah baharu Restoran 10Binjai memilih elemen songket.

KUALA LUMPUR –  Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre bakal kembali menjadi tarikan utama pengunjung apabila melakukan transformasi menerusi pembukaan semula restoran miliknya, 10Binjai yang kini berwajah baharu.

Seiring itu, 10Binjai kini menyajikan masakan tempatan dan antarabangsa bagi menambat hati pelanggan dengan menggunakan hanya bahan-bahan berkualiti tinggi dan terbaik.

Selain itu, pengunjung juga boleh merasai keunikan konsep segar kerana rekaan restoran itu yang moden bagi memberikan pengalaman baharu yang pastinya berbeza.

Menu makanan yang menggunakan hanya bahan-bahan berkualiti, terbaik dan segar.

Pengurus Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre, Zakaria Ismail berkata, pihaknya sentiasa komited dan berdedikasi bagi memastikan hotel itu sebagai destinasi yang wajib dikunjungi di tengah bandar ibu kota.

“Pasukan kami tidak sabar untuk menawarkan pengalaman peribadi dalam persekitaran yang selamat dan kondusif sambil memberi perkhidmatan terbaik di pusat bandar raya Kuala Lumpur dalam suasana moden.

“Transformasi ini adalah sebahagian daripada pelan strategik jangka panjang dan kami telah melabur melalui pelbagai pemikir kritis ke dalam konsep dan reka bentuk restoran baharu itu.

“Restoran 10Binjai pastinya akan menjadi destinasi pelancong tempatan dan global yang menawarkan pengalaman masakan baharu dan moden kepada para tetamu di mana tempoh transformasi ini memberi kami peluang untuk menerokai ramuan, perisa dan semangat inovatif,” katanya pada majlis pembukaan semula restoran itu baru-baru ini.

Pembukaan semula restoran milik Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre iaitu 10Binjai yang kini berwajah baharu.

Mengenai reka bentuk dalaman baharu 10Binjai, Zakaria memberitahu, restoran itu menampilkan elemen songket yang sinonim dengan keunikan budaya Malaysia.

Ujar beliau, dikenali sebagai kain tenunan tangan yang mewah, motif songket merupakan salah satu elemen tradisional yang dititikberatkan sebagai objektif hiasan di restoran.

“Direka bentuk dengan restoran berkonsepkan mesra dan moden, Restoran 10Binjai adalah ruang inspirasi di tengah-tengah bandar yang menawarkan makanan dan keselesaan dengan menu baharu menarik dengan hidangan segar, tempatan dan antarabangsa untuk pengalaman bersantap anda.

“Mampu memuatkan untuk jamuan kecil hingga ke acara berskala besar, restoran ini menawarkan pelbagai pilihan untuk perancang mesyuarat, hos acara dan majlis perkahwinan.

“Bilik majlis privasi yang luas termasuk teres luaran dantaman dengan pemandangan panoramik bandar pastinya menjadi satu keunikan buat pengunjung,” katanya sambil memberitahu 10Binjai boleh menempatkan sehingga 300 tetamu untuk acara korporat, majlis mesyuarat dan acara.

Kakitangan Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre, sentiasa komited dan berdedikasi bagi memastikan hotel itu sebagai destinasi yang wajib dikunjungi di tengah bandar ibu kota.

Sementara itu, Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre yang dibuka pada Jun 2020 dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan diuruskan oleh Attana Hotels & Resorts Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat pengurusan hospitaliti yang menguruskan semua hotel, resort dan kelab golf yang dimiliki oleh PNB.

Terletak berhampiran Menara Berkembar Petronas atau KLCC yang tersergam indah di pusat bandaraya Kuala Lumpur, restoran itu boleh diakses melalui rangkaian jalan raya utama dan mempunyai akses mudah ke Sistem Transit Aliran Ringan, Stesen Ampang Park.

Selain itu, hotel ini juga berdekatan dengan  kompleks membeli-belah seperti Suria KLCC, Pavilion, Lot 10, Bintang Walk dan Sungei Wang Plaza. – MalaysiaGazette

Majlis pembukaan semula Restoran 10Binjai di Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre berlangsung baru-baru ini.