Arthur Joseph Kurup.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melaksanakan semula syarat Perubahan Harga atau Variation of Price (VOP) susulan kenaikan harga bahan binaan seperti pasir dan besi tetulang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan itu selaras dengan apa yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini selepas kenaikan harga barangan itu memberi kesan kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) sehingga menjejaskan kelancaran pembinaan projek kerajaan.

“Susulan itu, kerajaan telah melaksanakan semula VOP dalam kontrak kerja kerajaan seperti diluluskan MOF berkuat kuasa bagi kontrak bermula 1 Januari hingga 31 Disember ini.

“Pekeliling ini berkuat kuasa bagi semua kontrak kerja konventional kerajaan mulai 1 Januari sehingga 31 Disember ini meliputi kerja bangunan, kejuruteraan awam dan mekanikal dan elektrikal (M&E) bagi kerja-kerja sebut harga dan kontrak bernilai RM500,000 ke atas,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rozman Isli (Labuan -Warisan) yang meminta kerajaan menyatakan semakan semula yang dibuat mengenai kos projek kerajaan berikutan kenaikan mendadak harga bahan binaan dan logistik.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan daripada awal Januari sehingga Ogos lalu, didapati berlaku kenaikan kepada indeks kos pada kadar antara tiga hingga 19 peratus di seluruh negara akibat kesan pandemik Covid-19 dan peningkatan harga pasaran global. – MalaysiaGazette