Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Jumlah kluster membabitkan kes positif Covid-19 di dalam negara terus menunjukkan trend penurunan di bawah paras satu angka apabila hanya empat kluster dilaporkan hari ini.

Angka terkini itu adalah ketiga terendah selepas dua kluster dilaporkan pada 23 Oktober lalu dan tiga kluster pada 5 November lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, empat  kluster itu masing-masing mewakili tiga kategori tempat kerja dan satu kluster kategori pendidikan lain.

“Kesemua empat kluster berkenaan dikesan di negeri Selangor, Johor, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Kluster tempat kerja Industri Perusahaan Lorong Perak Tiga dikenalpasti di daerah Kuala Langat membabitkan 13 kes positif menerusi 116 saringan yang dilaksanakan.

“Kluster Industri Jalan Peserai dikesan di daerah Batu Pahat membabitkan 19 kes positif manakala sebanyak 239 kes telah disaring,” katanya dalam kenyataan media perkembangan terbaharu Covid-19 hari ini.

Tambah beliau, kluster kerja Jalan Gambut Kuantan membabitkan lapan kes di Kuantan manakala 32 individu telah disaring bagi mengesan kontak rapat.

Kluster berkenaan melibatkan kakitangan sebuah pusat pentadbiran awam yang terletak berhampiran Jalan Gambut, Kuantan.

Kes indeks bagi kluster ini merupakan kes membabitkan lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 9 November 2021 hasil saringan kendiri.

Menurutnya kluster pendidikan lain iaitu Jalan Setiawangsa Utama pula membabitkan enam kes positif menerusi 27 ujian saringan yang dilaksanakan.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang kanak-kanak lelaki tempatan berumur tiga tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 9 November 2021 hasil saringan kontak rapat.

“Setakat ini sebanyak 5,828 kluster telah dilaporkan di dalam negara manakala 5,540 daripadanya sudah ditamatkan sementara sebanyak 288 kluster dikesan masih aktif,” ujar beliau. – MalaysiaGazette