MELAKA – UMNO Bahagian Tangga Batu menafikan wujud tindakan menyekat pengaruh politik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan.
Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, dakwaan Nor Azman itu sebenarnya tidak lebih daripada tindakan terdesak ketika musim Pilihan Raya Melaka (PRN) Melaka.
Mohamad Ali yang lebih popular dengan panggilan Cikgu Ali mendakwa Nor Azman cuba menagih simpati pengundi UMNO dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu.
“Pada saya, kenyataan tersebut jelas berniat jahat, terdesak dan hanya bertujuan untuk menagih simpati pengundi UMNO kerana beliau sedar tanpa pengundi dan jentera parti adalah mustahil untuk beliau mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundur.
“Beliau dipecat dari parti kerana tindakannya yang rakus kuasa sehingga menyebabkan kerajaan negeri yang diterajui oleh UMNO tumbang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Baru-baru ini Nor Azman ketika ditemubual sebuah portal dalam talian Sabtu lalu mendakwa wujud politik ‘pancung-memancung’ pada peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tangga Batu.
Mohamad Ali yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara mencabar Nor Azman untuk berdebat secara terbuka bagi membuktikan segala dakwaannya itu.
“Kalau boleh tidak mahu memanjangkan isu ini namun sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu adalah menjadi tanggungjawab saya untuk tampil mempertahankan bahagian ini dari sebarang fitnah dan dakyah politik murahan seperti ini.
“Terpulang kepada beliau (Nor Azman) untuk terima atau tidak tapi kalau betul kononnya beliau dianiaya UMNO Tangga Batu, mari kita bersemuka dan biar rakyat di Tangga Batu ini menilai siapa yang benar dan siapa yang salah.
“Saya sedia berdebat dengannya, adakah beliau berani sahut cabaran ini?” soalnya.
Sebelum pembubaran DUN Melaka, UMNO telah menggugurkan keahlian dua ahlinya iaitu mantan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan Nor Azman kerana mendakwa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Susulan itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Keempat Belas baru-baru ini. -MalaysiaGazette