Sabah masih belum mencapai 80 peratus kadar vaksinasi.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sabah masih belum mencapai 80 peratus kadar vaksinasi.

Menurut Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, setakat kelmarin, seramai 2,368,589 orang lengkap menerima dua dos vaksin yang mana 75.09 peratus atau seramai 2,071,409 daripadanya adalah penduduk dewasa.

Manakala penerima vaksin dos pertama adalah seramai 2,432,506 orang yang meliputi 2,101,201 orang penduduk dewasa bersamaan 76.17 peratus.

Selain itu, kata beliau, seramai 297,180 atau 68.47 peratus remaja di negeri berkenaan lengkap menerima dua dos vaksin.

Sebanyak 331,305 (76.34 peratus) merupakan remaja yang menerima satu dos.

Masidi merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, tren jangkitan di negeri berkenaan menunjukkan peningkatan berterusan.

“Secara ringkasan, 12 daerah mencatatkan peningkatan kes, 12 daerah mencatatkan penurunan kes, 3 daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

“Sebanyak 22 daerah mencatatkan kes dibawah paras 40 kes dan 5 daerah mencatatkan kes di atas paras 40 kes, dengan Kota Kinabalu kekal sebagai daerah dengan kes terbanyak iaitu sebanyak 54 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kes positif baharu itu dikenal pasti daripada saringan bergejala.

“Kes berpunca daripada saringan bergejala yang sinonim dengan jangkitan secara sporadik adalah tinggi dan hari ini sebanyak 228 kes atau 39.4 peratus. Kes-kes ini seringkali dikaitkan dengan kegagalan individu mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” tambah Masidi.

Untuk rekod, sehingga semalam, sebanyak 579 kes positid Covid-19 direkodkan di Sabah.

Sementara itu, Sabah menjadi negeri yang tertinggi mencatatkan kematian akibat jangkitan pandemik berkenaan iaitu 12 kes.-MalaysiaGazette