Tidak lengkap sekiranya makanan seperti soto, bihun sup, mee jawa, nasi goreng, mee goreng tidak diserikan dengan taburan bawang goreng.

KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan masakan akan bertambah sedap apabila ditaburkan dengan bawang goreng.

Malah rasanya tidak lengkap sekiranya makanan seperti soto, bihun sup, mi jawa, nasi goreng, mi goreng tidak diserikan dengan taburannya.

Hari ini, semakin banyak produk bawang goreng yang dijual kepada golongan wanita yang tidak ada masa untuk membuatnya. Namun dalam memilih bawang goreng di pasaran, pastikan anda tidak membeli yang lembik, pahit dan cepat lemau.

Bagi seorang pengusaha bawang goreng, Nuramalina Hamzah menitikberatkan kualiti tinggi ketika menghasilkan produknya yang 100 peratus adalah buatan sendiri.

Jelas wanita berusia 35 tahun itu, bagi menghasilkan rasa rangup yang kekal lama, dia mengguna bawang merah yang digoreng dengan minyak masak serta api yang sederhana.

“Sejak menjual bawang goreng pada Julai lalu, ramai pelanggan memberi maklum balas positif kerana produk saya memiliki kelainan.

“Ini kerana selain rasanya yang rangup, kualitinya terjamin apabila kerangupan itu kekal lama dan tidak cepat lemau,” kata ibu kepada empat anak itu.

Bawang goreng keluaran Amalina Kitchen kini mendapat sambutan luar biasa.

Nuramalina  kini berjaya jual lebih 50 bekas bawang goreng sebulan dengan harga RM10 sebekas.

Katanya, keberanian untuk menjual produk baharu itu telah memberilkan hasil selepas sebelum ini terlibat dengan bisnes makanan menerusi jenama Amalina Kitchen.

“Sebelum ini, saya banyak mengambil tempahan menu seperti laksa utara, bihun sup utara, tauhu bergedil, nasi goreng kampung, mi kari, nasi Arab, nasi tomato dan bihun goreng hailam untuk majlis-majlis.

“Namun semasa Perintah Kawalan Pergerakan, permintaan semakin kurang dan saya beralih kepada produk bawang goreng sejak Julai lalu,” katanya.

Sementara itu, produk bawang goreng jenama Amalina Kitchen itu boleh dibeli di Shopee. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast