Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Taksonomi ASEAN akan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara karbon sifar seawal tahun 2050, melengkapi agenda pemulihan hijau negara, Aspirasi Pelaburan Negara (NIA) dan tumpuan Belanjawan 2022 terhadap kelestarian dan pemulihan ekonomi.

Taksonomi ASEAN merupakan inisiatif bersama badan sektoral kewangan, dengan Malaysia diwakili oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebagai sebahagian daripada 12 anggota Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) yang mewakili semua Negara Anggota ASEAN.

Inisiatif serantau berkenaan merupakan pencapaian penting yang menunjukkan komitmen rantau ini yang dibuat secara kolektif dengan pendekatan yang bersesuaian untuk menuju ke arah ASEAN yang lebih lestari.

Melalui modal dan pendanaan yang didorong ke arah aktiviti hijau dan secara berperingkat, yang akan membantu menggalakkan transformasi sistem yang diperlukan di rantau ini, Taksonomi ASEAN mengambil satu langkah ke hadapan bagi membolehkan ASEAN memenuhi komitmen Perjanjian Paris.

KASA dan MOF dalam kenyataan bersama berkata, memandangkan ASEAN merupakan rantau yang mempunyai ekonomi dan sistem kewangan yang berbeza-beza, taksonomi pelbagai peringkat ini akan memastikan penggunaannya secara inklusif dapat memberikan manfaat kepada semua anggota ASEAN.

Taksonomi ini juga sejajar dengan Taksonomi Berasaskan Prinsip dan Perubahan Iklim yang dikeluarkan oleh BNM pada awal tahun ini serta komponen persekitaran Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) untuk pasaran modal Malaysia yang sedang dibangunkan oleh SC.

Menurutnya, taksonomi-taksonomi ini secara kolektif akan mewujudkan peluang dan menggalakkan lebih banyak aliran pelaburan, termasuk aliran dana asing ke dalam negara.

Peranan sektor kewangan dalam memacu agenda kelestarian negara adalah sangat penting, antara lain, Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantaraan berasaskan Nilai (VBIAF) menjadi panduan yang berguna kepada institusi kewangan yang berhasrat untuk mengambil kira pertimbangan risiko persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sistem pengurusan risiko mereka sendiri.

SC pula telah memperkenalkan pelbagai inisiatif SRI sejak tahun 2014 bagi membangunkan ekosistem SRI yang kondusif untuk pasaran modal.

Selain itu, sebagai pengerusi bersama dalam Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3), BNM dan SC telah mempergiat inisiatif untuk bekerjasama dengan industri bagi memperkukuh keupayaan sektor kewangan dalam menangani risiko berkaitan iklim dan membangunkan daya tahan terhadap iklim.

Usaha ini juga menjajarkan tindak balas sektor kewangan terhadap dasar negara.

Menurut kenyataan itu, KASA dan MOF, bersama-sama dengan kementerian dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan, akan memberikan maklum balas terhadap tahap pembangunan seterusnya dan menyokong pelaksanaan Taksonomi ASEAN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast