Yayasan Akalbudi corruption trial Ahmad Zahid Hamidi funds
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Hanya pendokong dan penyokong Barisan Nasional (BN) yang setia lebih mengenali perjuangan parti politik itu yang tiada penghujung noktahnya.

Bahkan rakyat juga telah melihat BN tidak pernah berundur daripada menjaga kepentingan mereka walau pernah dirobek angkara fitnah dan tipu daya musuh politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja yang tidak mengiktiraf BN sebagai parti yang berjuang untuk rakyat.

Malah, katanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sanggup menghina parti itu dengan ‘mengisytiharkan’  sejarah BN sudah berakhir.

Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dalam ucapan beliau ‘mengisytiharkan’ sejarah BN telah berakhir.

“Sedih kata-kata penghinaan itu dilontarkan oleh seseorang yang sebelum ini menempa nama dalam dunia politik menggunakan dokongan dan sokongan daripada ahli akar umbi BN.

“Tidak mengapalah, Pengerusi PN mahu menyatakan apa pun kerana pendokong dan penyokong BN yang setia lebih mengenali perjuangan BN tiada penghujung noktahnya,” kata beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pelbagai tohmahan, fitnah, cercaan, kejian, hinaan dan cacian dilemparkan dari pelbagai hala ditujukan kepada BN.

Namun, tegasnya, ia tidak pernah mengurangkan keyakinan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seluruh pendokong serta penyokong BN di seluruh negara.

“Yakinilah sejarah BN tidak akan terhenti dan sentiasa terus membara selagi ada daya dan upaya, ilham dan kudrat anugerah Ilahi.

“Penghinaan Pengerusi PN itu, malah akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

“Seluruh jentera, ahli dan penyokong BN berpadu dengan semangat membara untuk membuktikan kepada PN bahawa sejarah BN belum berakhir,” katanya.

Katanya, ternyatalah keputusan akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 untuk tidak bekerjasama dengan PPBM merupakan satu langkah yang tepat.

Ujar beliau, kata-kata Presiden Bersatu itu menyerlahkan sebuah hipokrasi yang mencerminkan nawaitu sebenar parti serpihan itu ke atas BN dan UMNO amnya. – MalaysiaGazette