Gambar hiasan

Isu Pelabelan atau Isu Politik?

Kontroversi melibatkan isu wiski berjenama ‘Timah” buatan Malaysia ini telah menjadi topikhangat sejak akhir-akhir ini. Bukan sahaja telah dipaparkan di dada-dada akhbar dan media sosial di Malaysia, namun ia turut dibahaskan di peringkat mesyuarat Kabinet.

Ada yang menganggap perkara itu menyentuh sensitiviti dan mengelirukan umat islam.

Menurut pandangan ini, penggunaan nama Timah merujuk kepada puteri Rasulullah iaitu Fatimah Az Zahra dan juga merupakan nama wanita Melayu Islam. Ada juga yang berpendapat bahawa penggunaan gambar orang berkopiah dengan janggut yang panjang memaparkan individu berimej agama.

Di suatu  sudut yang lain pula, ada pihak berpendapat bahawa masyarakat perlu berfikir secara logik dan rational. Isu ini tidak sepatutnya dipolitikkan.

Tambahan pula, pelabelan nama Timah itu berasal dari perkataan ‘bijih timah” dan gambar lelaki berjanggut itu pula dikatakan merupakan Kapten Speedy.

Pendekatan Teori Undang-undang

Mengapakah para hakim di dalam sesuatu kes mempunyai keputusan kehakiman yang berbeza-beza walaupun mereka merujuk kepada undang-undang, fakta kes dan duluan kehakiman yang sama?

Menurut teori undang-undang Realisme, keputusan kehakiman merupakan satu amalan subjektif.

Salah satu idea utama yang dibawa oleh gerakan realis undang-undang ialah, keputusan
sesuatu kes bukanlah dipengaruhi oleh fakta dan undang-undang semata-mata, namun ianya dipengaruhi oleh moral dan kepercayaan hakim itu sendiri. Hakim juga merupakan seorang manusia dan manusia itu makhluk yang tidak sempurna.

Sudah pasti keputusan yang dibuat itu tidak akan lari daripada kesalahan kecil mahupun besar.

Oleh itu, nilai agama dan moral dalam diri seorang hakim itu menjadi panduan sebagai asas kepada keputusan yang dibuat.

Seorang hakim juga perlu terdorong untuk membuat keputusan berdasarkan kepentingan dan kebaikan awam.

Kesihatan dan keselamatan awam hendaklah dipertimbangkan sebelum membuat
keputusan.

Begitu juga dengan isu arak Timah ini. Manusia merupakan hakim kepada kehidupan sendiri yang mempertimbangkan sesuatu isu sebelum membuat keputusan.

Moral dan kepercayaan di dalam diri masing-masing akan mempengaruhi sesuatu keputusan yang dibuat.

Hakikatnya, jika seseorang itu tidak pernah membeli dan meminum wiski, beliau tidak akan mengambil tahu pun di mana jualnya wiski itu.  Jika dari asalnya sejenis peminum arak, wiski dijual di hujung pelosok dunia sekalipun, mereka akan cari dan beli.

Pokok pangkalnya, perkara ini berbalik kepada soal keutuhan pegangan agama dan moral di dalam diri seseorang.

Setiap orang yang mempunyai kepercayaan agama yang kukuh dan moral yang baik akan dapat membezakan apa yang baik atau buruk kepada kehidupan mereka dan masyarakat sekeliling serta halal dan haram sesuatu perkara.

Oleh hal yang demikian, bersama-samalah kita bermuhasabah diri. Janganlah air yang setitik dilautkan, tanah seketul digunungkan semata mata untuk meraih kepentingan peribadi.

Kenal pasti punca masalah yang sebenar dan gunakan jalan penyelesaian yang sesuai.

Oleh:  Nur Farhanim Harun & Assoc. Prof. Dr. Shahrul Mizan bin Ismail
Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Arak jenama Timah bukti diskriminasi kaum ke atas orang Melayu, so kena adakan arak jenama Amoi dan Pomblek supaya barulah adil dalam Keluarga Malaysia macam adik-beradik sama-sama mabuk kaki botol kemaruk cukai arak selepas kecualikan migran daripada cukai residency permit, kan?

Comments are closed.