Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berucap pada Program Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) akan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak jika ia digubal sekarang, kata Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, beliau bersyukur kerana akta tersebut telah dilaksanakan lebih awal.

“Bayangkan zaman kita ini baru nak mulakan untuk melaksanakan dan menggubal akta tersebut, agak mustahil untuk dilaksanakan.

“Hendak pinda pun (dapat) tentangan yang begitu hebat, ini cabaran tanpa sedar walaupun negara kita Malaysia sebuah negara yang sangat harmoni, berbilang bangsa dan berbilang kaum tetapi kalau kita merenung kepada sejarah betapa kita ini berada pada kedudukan yang sangat berbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan 2021, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Akta 355 adalah akta yang memperuntukan dan menyeragam bidang kuasa kepada mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicarakan kesalahan di bawah hukum syarak.

Menurut beliau, tentangan yang diterima ketika ini turut menjadi faktor mengapa Akta 355 sudah terlalu lama tidak dipinda.

“Saya amat bersyukur apabila melihat kepada rekod gubalan undang-undang zaman dulu-dulu, zaman tok nenek kita laksanakan mereka boleh gubal Akta 355 walaupun beberapa kali pindaan.

“Sampai sekarang bermula daripada tahun 1984 sehingga kini hampir 30 tahun lebih tidak ada pindaan dan tidak ditingkatkan had hukuman.

“Zaman ini banyak tentangan tapi zaman tok nenek kita mereka boleh menyediakan akta tersebut sebagai landasan untuk kita bawa penguatkuasaan undang-undang syariah ini,” ujarnya.

Ahmad Marzuk berkata, pada hari ini akta tersebut menentukan peranan, tanggungjawab bersama untuk terus memberi sokongan dan dokongan supaya perkara-perkara berkaitan kepentingan dan hak penguatkuasaan undang-undang kepada umat Islam dapat diteruskan di negara ini. – MalaysiaGazette