ADUN Pengkalan Batu, Kalsom Nordin

AYER KEROH – Isu lompat parti antara rungutan yang ditemui Datuk Kalsom Noordin ketika beliau melakukan walkabout bertemu pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu selepas berkempen sejak tujuh hari lalu.

Calon Barisan Nasional (BN) yang mesra dengan panggilan Kak Som berkata, perkara itu menjadi isu yang sering didengar sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, rata-rata pengundi mengadu sudah serik dipermainkan oleh orang yang mereka angkat sebagai Yang Berhormat (YB) sebelum ini dan mereka tidak mahu lagi dijadikan kambing hitam semata-mata untuk memberi kedudukan selesa kepada politikus.

“Bila kita turun ke padang sepanjang enam hari ini mereka asyik cerita jangan sampai esok kau dah dapat tempat melompat, inilah satu isu yang mereka dah bosan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.

Menurut Kalsom, perkara itu bukan sahaja menjadi topik hangat yang diperbualkan dalam kalangan generasi muda, malah ia turut mencuri perhatian warga emas yang menjual sayur di pasar dan di kedai-kedai kopi.

Katanya, beliau sedih kerana mereka meletakkan tanggapan bahawa perkara itu terjadi kerana UMNO sedangkan ia hanya melibatkan beberapa individu sahaja.

“Dia orang kata inilah dia orang UMNO…sekarang nampak muka, tapi nanti esok bila dah jadi YB melompat,” ujarnya.

Tambah beliau, apa yang berlaku menunjukkan bahawa rakyat tidak kira peringkat usia peka dengan keadaan politik semasa dan mereka tidak mahu pengorbanan mereka dalam memilih orang yang boleh membela nasib rakyat dipersia-siakan.

“Rakyat bukan bodoh, mereka mendengar, melihat, membaca. Mereka dah jelak dengan isu-isu sebegini. Apa yang kita harapkan kestabilan politik demi kemakmuran. Rakyat memerlukan kestabilan,” katanya yang mengakui tersentap dengan teguran tersebut.

Katanya lagi, rakyat terutamanya kaum bukan Melayu tidak suka dengan sikap pelaku-pelaku pemimpin atasan hingga menimbulkan rasa kurang percaya dengan apa yang disampaikan ketika berkempen.

“Kita ni orang Melayu, kita jugalah pemimpin yang diharap-harapkan,” katanya yang merasa hairan dengan perlakuan seperti itu terutama dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Kalsom, 68, pertama kali bertanding merupakan calon tertua dalam PRN Melaka, yang dipertaruhkan oleh BN.

Beliau akan berdepan dengan dengan empat pencabar iaitu Muhamad Danish Zainudin (Pakatan Harapan), Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) di DUN Pengkalan Batu.

Ketua Wanita UMNO Hang Tuah Jaya itu antara lima calon wanita dipertaruhkan BN bersama Tuminah Kadi yang bertanding di kawasan Pantai Kundor, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Rim), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai) dan Leong Hui Ying (Kesidang). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast