Superintendan Bahrain Mohd Noh.

SEGAMAT – Seorang lelaki  ditahan kerana didakwa bergaduh bersama rakannya sehingga mendatangkan kecederan di Chaah di sini malam tadi bukanlah kerana faktor politik.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrain Mohd Noh berkata, mangsa yang berselisih faham itu kerana hal peribadi dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Segamat.

Hasil siasatan mendapati, mangsa dicederakan oleh rakannya sendiri semasa berada di sebuah restoran berikutan perselisihan faham bukan berkaitan politik melibatkan musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti ditularkan.

“Dalam kejadian pukul 7 malam semalam,  polis telah menerima satu laporan berkenaan kejadian mendatangkan kecederaan terhadap satu lelaki India

“Punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara mangsa dengan suspek berkenaan hal peribadi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Bahrain, kejadian jenayah tersebut  tidak melibatkan senjata namun ada kesan kecederaan di badan mangsa akibat perbalahan menggunakan tangan.

Berikutan itu, tangkapan telah dibuat terhadap suspek iaitu seorang lelaki India berusia 42 tahun dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas mendapat perintah tahanan reman.

Dalam pada itu, polis mendapati satu kenyataan tidak benar telah ditularkan di laman sosial berkenaan kejadian yang sama dan dikaitkan dengan isu politik.

“Pihak polis mengingatkan orang awam supaya tidak memanipulasi sebarang insiden yang berlaku tanpa mengetahui fakta sebenar bagi kepentingan peribadi.

“Dalam situasi terkini, orang ramai dinasihati supaya merujuk kepada pihak polis berkenaan apa-apa kejadian sebelum membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan kejadian pergaduhan itu dikaitkan dengan elemen politik. – MalaysiaGazette