Mengundi
Foto hiasan

MELAKA – Dinamika kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ke-15 menunjukkan konsep Keluarga Malaysia yang menjadi teras kepada kerajaan hari ini dilihat antara faktor penyumbang kejayaan besar parti tersebut.

Ia secara jelas memperlihatkan rakyat di negeri ini mahukan perubahan lebih-lebih lagi pada kestabilan dan kemakmuran yang telah dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Assagof berpandangan, semangat perpaduan kaum, agama dan bangsa menjadi peneraju dasar Keluarga Malaysia telah diterima dengan baik oleh semua rakyat.

“Ia sekali gus melenyapkan segala tohmahan yang berlegar beberapa hari sebelum hari pengundian.

“Kejayaan BN itu juga dibayangi dengan semangat Malaysia maju menuju kemakmuran dan kestabilan ekonomi apabila pembangkang bersetuju bekerjasama dalam penyusunan Bajet 2022 dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif terbaru untuk mengharungi pandemik ini,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Beliau berkata, rakyat yakin kerajaan akan meneruskan bantuan khususnya kepada golongan sasar dan industri kecil dan sederhana yang terkesan serta menjanjikan pemulihan sektor pelancongan di Melaka diterima semua rakyat negara ini menerusi beberapa inisiatif.

“Inilah faktor kemenangan BN yang dilihat menjadi asapirasi kepada kerajaan untuk terus maju jaya Bersama Keluarga Malaysia.

“Ditambah dengan kurangnya isu-isu negatif, serta melihat tahap keseriusan kerajaan untuk melaksanakan setiap manifesto yang telah diberikan,” jelasnya.

Dr Syed Agil Assagof
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan, rakyat Melaka mahu memilih kerajaan yang yang mampu membawa kestabilan ekonomi dan politik dengan baik.

“Rakyat tempatan melihat perkara mampu dilaksanakan. Tambahan dengan pentadbiran Ismail Sabri yang membuka sektor ekonomi dan membenarkan pergerakan rentas negeri, memperlihatkan Melaka kembali bernafas.

“Kita tahu, Melaka bergantung kepada kedatangan pelancong ke negeri itu yang mempunyai banyak tarikan pelancongan, dengan kelonggaran dan banyak perniagaan boleh dibuka semula, mereka rasa seronok,” katanya.

Beliau berkata, dengan limpahan ekonomi dan rezeki serta kesan positif yang dirasai ramai, kerana itu PRN Melaka kali ini, rakyat mahukan perubahan.

“Kita lihat, rakyat menggunakan PRN Melaka untk memberi mandat parti yang boleh menjamin kestabilan dan negeri,” jelasnya lagi.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
Dr Syed Agil Assagof

Tambah beliau lagi, impak ini akan lebih dirasai pada tahun hadapan selepas mengambil kira Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini akan terus menyantuni rakyat.

PRN Melaka menyaksikan BN menang dengan majoriti besar apabila memperoleh 21 kerusi daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri dan Berjaya membentu kerajaan negeri.

Mandat yang diberikan rakyat ini amat bertepatan dengan konsep dan aspirasi Keluarga Malaysia menyantuni semua rakyat di negara ini tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang. -MalaysiaGazette