Mohd Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulamak Pas menyambut baik tindakan kerajaan negeri Kedah yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk menghentikan kelulusan lesen premis judi.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, keputusan tersebut adalah usaha yang baik untuk menghalang kemudaratan harta dalam kalangan rakyat.

“Malah, Majlis Syura Ulamak menyeru rakyat dan kerajaan tidak lagi menjadikan judi sebagai sumber pendapatan dan ekonomi bagi mengekang dan memerangi ‘ekonomi gelap’,” kata Majlis Syura Ulamak menerusi kenyataan.

Dalam masa sama beliau berkata, Majlis Syura Ulamak turut mengalu-alukan keputusan untuk mengehadkan penjualan arak di negeri jelapang padi berkenaan.

“Hal ini kerana fakta menunjukkan bahawa arak menjadi salah satu punca kemalangan maut akibat pemandu mabuk serta memberikan implikasi kehilangan nyawa dan kecederaan bukan sahaja kepada mangsa bahkan keluarga selain kepentingan awam.

“Majlis Syura Ulamak sentiasa mendokong usaha baik mana-mana pihak bagi melahirkan masyarakat yang lebih aman, makmur dan terhindar dari segala musibah yang berpunca daripada arak serta judi,” tambahnya.

Semalam, Muhammad Sanusi mengumumkan tidak akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri, berkuat kuasa serta-merta.

Jelasnya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat EXCO minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih besar kepada penduduk.-MalaysiaGazette