Mohamed Azmin Ali Gombak voters fiduciary duties deceit
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi, kata menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Di samping itu, kementeriannya akan mengambil langkah pembangunan ekosistem yang mesra pelabur seiring dengan objektif Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Jelas beliau, NIA memberikan penekanan terhadap elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang semakin mendapat keutamaan pada peringkat antarabangsa, dengan tumpuan kepada kebajikan pekerja serta pencemaran alam sekitar.

Dasar itu, katanya, penting bagi menjamin kelestarian pertumbuhan ekonomi negara kerana isu itu memberikan kesan terhadap eksport dan pelaburan langsung asing.

“MGPP sentiasa memberi fokus untuk menarik pelaburan berkualiti termasuk pelaburan berteknologi tinggi dan hijau, di samping meningkatkan perdagangan serta pemindahan teknologi melalui jalinan kerjasama khususnya dalam sektor berkepentingan strategik.

“Sejumlah RM25 juta diperuntukan bagi mempergiatkan MGPP pada tahun 2022 untuk terus meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di negara rakan dagang tradisional dan pasaran baharu.

“Sektor-sektor yang dikenal pasti adalah elektrikal dan elektronik (E&E), peranti perubatan, aeroangkasa, farmaseutikal, tenaga boleh diperbaharui, industri kreatif, ekonomi digital serta kenderaan cekap tenaga termasuk kenderaan elektrik,” katanya menjawab bagi perbahasan RUU Perbekalan 2022 di Parlimen petang ini.

Mohamed Azmin menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH) berkenaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau berkata, ia telah ditandatangani oleh semua 11 negara anggota termasuk Malaysia pada tahun 2018.

Perjanjian itu, katanya, telah dikuatkuasakan oleh Australia, Kanada, Jepun, New Zealand, Mexico, Peru, Singapura dan Vietnam.

Jelas beliau, hampir lima tahun sejak pelaksanaan CPTPP, Malaysia telah kehilangan peluang untuk memanfaatkan perjanjian tersebut susulan proses ratifikasi yang belum selesai.

Malaysia, katanya, sedang dalam usaha melengkapkan proses ratifikasi yang dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun depan.

“Sebagai sebuah negara yang belum meratifikasi CPTPP, Malaysia hanya diberikan status pemerhati dan tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang apa-apa keputusan yang dibuat secara konsensus oleh lapan negara yang telah menguatkuasakan perjanjian itu.

“Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) seperti CPTPP adalah sesuatu yang bersifat abadi dan ianya akan terus kekal dilaksanakan untuk tahun akan datang.

“Manfaat daripada perjanjian ini bukanlah sesuatu yang bersifat sementara, malah akan memberikan pelbagai faedah dan pulangan positif kepada sektor ekonomi di masa akan datang,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, perjanjian itu menyediakan ruang dan peluang kepada industri serta pembekal perkhidmatan untuk mendapat manfaat optimum melalui akses pasaran yang luas dan semakin berkembang berikutan permohonan kemasukan oleh anggota baharu seperti United Kingdom, Republik Rakyat China dan Taiwan.

Ini kata beliau, merupakan petanda positif yang membuktikan CPTPP adalah satu perjanjian yang amat bermanfaat dari segi ekonomi dan telah menarik minat pelbagai negara untuk menyertainya.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai FTA sama ada secara dua hala atau serantau (ASEAN) dengan semua negara anggota CPTPP kecuali Kanada, Mexico dan Peru.

Oleh itu, tanpa CPTPP, Malaysia tidak akan dapat menikmati sebarang bentuk akses pasaran berkeutamaan di ketiga-tiga negara tersebut dan ini akan menjejaskan daya saing barangan eksport Malaysia ke negara tersebut. – MalaysiaGazette