KUALA LUMPUR – Polis menasihati pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon supaya menetapkan kapasiti kehadiran 1,000 pengunjung sahaja pada satu-satu masa bagi tujuan keselamatan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, hasil siasatan mendapati taman air berkenaan sebenarnya boleh memuatkan kapasiti seramai 10,000 orang dalam satu satu masa.
Namun katanya, mengikut SOP Fasa 4 PPN yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya 5, 000 orang sahaja dibenarkan dalam satu-satu masa.
“Justeru menerusi beberapa video tular pada 6 November lalu terdapat seramai lebih kurang 1,900 orang pengunjung sedang bersuka ria di dalam taman tema air berombak tersebut dan kapasiti itu masih di bawah jumlah yang dibenarkan mengikut SOP ditetapkan MKN.
“Bagaimanapun mengambil kira risiko Covid-19, perbincangan telah diadakan dengan pihak pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon dan mereka dinasihatkan supaya menetapkan kemasukan hanya 1, 000 orang pengunjung boleh berada di dalam taman tema air itu dalam satu-satu masa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Dalam perkembangan berkaitan, menurut Abd Khalid, pihak Pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon juga telah bersetuju dengan cadangan pihaknya.
Justeru pengurusan Sunway Lagoon turut memaklumkan akan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan cadangan terbaharu itu dilaksanakan segera.
“Pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon juga berjanji dan menyatakan komitmen pihaknya akan sentiasa memastikan supaya semua pengunjung sentiasa mematuhi SOP yang di tetapkan sepanjang berada di dalam kawasan rekreasi itu,” katanya.
Pada 10 November lalu, polis menyiasat satu video tular yang telah dikesan dalam media sosial apabila memaparkan keadaan sesak pengunjung di Taman Tema Sunway Lagoon.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd. Fairus Jaafar menerusi kenyataan awal minggu lalu menyatakan pihaknya telah mengesan video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook bernama @Rizal Hakimm Punyer.
Video berdurasi 13 saat menunjukkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh pengunjung di taman tema tersebut.
Hasil siasatan mendapati beberapa video telah dimuat naik oleh akaun yang berlainan memaparkan kejadian yang sama daripada sumber akaun berikut iaitu Viral Taman Tema Air (Sunway Lagoon) Video 1 menerusi Sumber Aplikasi Tiktok (bungamerahh), Viral Taman Tema Air (Sunway Lagoon) Video 2 menerusi Sumber Aplikasi Tiktok (bungamerahh) dan Viral Taman Tema Air (Sunway Lagoon) video ketiga menerusi sumber Aplikasi Facebook (Kisah Rakyat Malaysia).
“Hasil siasatan awal polis mendapati Taman Tema Sunway Lagoon boleh memuatkan seramai 40,000 orang dalam satu-satu masa manakala kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 adalah seramai 20,000 orang dalam satu-satu masa,” ujarnya.
Tambah beliau, pada hari kejadian 6 November lalu, seramai 3,513 orang pengunjung yang direkodkan berada di dalam kawasan taman tema tersebut.- MalaysiaGazette