Sebuah klip yang memaparkan orang ramai berhibur di sebuah taman tema popular di Subang Jaya pada 6 November lalu. Foto: media sosial

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil tindakan sekiranya wujud pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di sebuah taman tema air terbesar di Subang Jaya, dekat sini, seperti yang tular pada laman media sosial baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya telah menerima rakaman video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook berdurasi 13 saat berkaitan pelanggaran SOP di taman tema berkenaan.

Menurut beliau, sehingga kini masih belum terdapat sebarang laporan polis dibuat berkaitan isu tersebut.

“Hasil siasatan awal, kawasan taman teman itu boleh memuatkan seramai 40,000 orang dalam satu-satu masa manakala kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah seramai 20,000 orang dalam satu-satu masa.

“Pada tarikh seperti mana kejadian iaitu pasa 6 November terdapat seramai 3,513 orang pengunjung yang direkodkan berada di dalam kawasan taman tema itu.

“Polis akan menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya wujud pelanggaran SOP PPN Fasa 4,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak polis turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menyalurkannya menerusi panggilan Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya (03-56210343) untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Terdahulu, tular sebuah klip yang memaparkan orang awam bermandi-manda secara beramai-ramai di taman tema itu sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen di laman Facebook. – MalaysiaGazette