Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Perolehan enam Kapal Peronda Generasi Kedua bermula 2010 adalah untuk memenuhi keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam meningkatkan keupayaan armada berdasarkan dasar perancangan ketika itu.

Dewan Rakyat diberitahu, cadangan itu kemudiannya telah diangkat melalui Jemaah Menteri pada 18 Ogos tahun berkenaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, susulan itu kementerian telah memohon untuk melaksanakan perolehan itu dan kerajaan bersetuju pada 23 Mac 2011 meluluskan permohonan tersebut di bawah RMK-10 (2011-2015) dan RMK-11 (2016-2020).

Kata beliau, tempoh pelaksanaan perolehan adalah selama 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023.

Namun, katanya, sehingga 31 Oktober lalu, kemajuan kerja bagi LCS adalah 57.05 peratus berbanding jadual perancangan kerja asal iaitu 96.57 peratus.

“Secara keseluruhannya, perolehan ini telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau bersamaan 43 bulan.

“Saya telah nyatakan beberapa kali sebelum ini, tidak dinafikan sememangnya terdapat masalah dalam perolehan LCS. Bagaimanapun, ini bukan masalah baru yang timbul sejak saya menerajui semula MINDEF.

“Ia turut diakui kepimpinan MINDEF sebelum ini termasuk mantan menteri dari Pakatan Harapan, Mohamad Sabu,” katanya pada sesi Penggulungan Belanjawan 2022 di Parlimen, petang ini.

Menurut Hishammuddin, kelewatan perolehan itu adalah kerana pihak Original Equipment Manufacturer (OEM) berkaitan pembinaan LCS telah memberhentikan kerja disebabkan masalah kewangan dihadapi syarikat.

Kata beliau, masalah itu menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

“Tambahan, Mohamad (Mat Sabu) sendiri pada 29 Oktober 2019 telah menjelaskan tiga faktor yang menjadi punca kelewatan perolehan LCS, iaitu kontraktor gagal siapkan reka bentuk dalam tempoh ditetapkan, kontraktor lewat muktamadkan perolehan sebahagian peralatan dan kualiti kerja yang tidak ikut spesifikasi.

“Justeru, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Kewangan Kerajaan (JSTUPKK) ditubuhkan pada 2019 dan telah mengesyorkan dua pilihan kepada kerajaan sama ada untuk menghentikan atau meneruskan.

“Keputusan kerajaan PH ketika itu untuk meneruskan perolehan LCS. Ini juga telah disahkan dalam Dewan Rakyat oleh Kota Raja selaku Menteri Pertahanan ketika itu pada 29 Oktober 2019,” katanya.

Menurut Hishammuddin, bukan setakat itu sahaja, MINDEF sendiri telah dipanggil memberi penjelasan kepada Jabatan Audit Negara (JAN), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebanyak lima kali dan JKSTUPKK tiga kali.

Malah, tegas beliau, MINDEF juga ketika zaman pemerintahan PH telah disoal siasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak dua kali.

“Di bawah kepimpinan saya, MINDEF dan ATM akan memberikan kerjasama dan sokongan yang penuh kepada semua siasatan dibuat oleh badan-badan berkenaan.

“Dalam masa sama, walaupun kepimpinan syarikat OEM iaitu Bousted Berhad terdiri daripada barisan kepimpinan baharu, namun tidak bermaksud kepimpinan syarikat terdahulu boleh terlepas dari keadilan sekiranya terdapat salah laku.

“Saya mengalu-alukan mana-mana pihak, sekiranya terdapat bukti baharu atau maklumat tambahan, laporkan terus kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menyatakan, MINDEF termasuk dirinya sendiri tidak akan sesekali mempertahankan serta berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dalam perihal perolehan LCS itu.

Keutamaan beliau sebagai Menteri Kanan Pertahanan pada ketika ini, tegasnya, untuk menyelamatkan projek itu kerana ia amat penting memandangkan LCS sememangnya aset yang diperlukan oleh TLDM.

“Bukan itu sahaja, projek ini juga melibatkan vendor-vendor tempatan, yang mana sebahagiannya terdiri daripada veteran ATM dan ada juga yang menjadi kakitangan kepada syarikat tersebut.

“Kita sebenarnya tidak ada pilihan, suka atau pun tidak, saya dan kepimpinan MINDEF perlu mencari apa jua jalan penyelesaian, sekali pun untuk memastikan perolehan kapal LCS dapat disempurnakan dan diterima oleh TLDM.

“Sejak saya mengambil alih tampuk kepimpinan MINDEF, saya telah mengambil pendekatan inklusif untuk melibatkan semua pihak berkepentingan seperti LTAT dan Boustead Berhad demi memikirkan hala tuju penyelesaian isu ini,” ujar beliau.

Justeru, inisiatif penyelesaian itu menggariskan dua komponen utama iaitu Penyusunan Semula Korporat dan Pengumpulan Dana, yang mana perbincangan itu turut melibatkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Kini, MINDEF berada di peringkat akhir rundingan bagi menyediakan Pelan Pemulihan dan dalam masa sama, bengkel yang melibatkan semua pihak berkepentingan bagi Pemulihan Projek LCS juga telah diadakan bagi memastikan syor pemulihan yang komprehensif dapat dihasilkan sebelum diangkat semula ke Jemaah Menteri untuk kelulusan dan tindakan selanjutnya.

Jelas beliau, dalam mempertimbangkan cadangan itu, kementeriannya berpegang kepada prinsip keperluan kritikal pertahanan negara, tanggungjawab kontraktual kerajaan dan tanggungjawab syarikat berdasarkan penemuan JSTUPKK.

“Kita tidak boleh lagi pandang ke belakang. Apa yang telah berlaku menjadi pengajaran dan iktibar cukup besar bagi kerajaan.

“Sebagai jalan ke hadapan, pelan ini akan dibentang kepada kabinet bagi kelulusan dan sekiranya diluluskan, sasarannya ialah TLDM boleh memperolehi kapal LCS pertama mereka pada tahun 2025,” katanya. – MalaysiaGazette