Wakil NGO bukan Islam menyerahkan memorandum sokongan larangan penjualan arak keras kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam memberi akuijanji menyokong keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan melarang penjualan arak keras (hard liquor) murah di beberapa premis sekitar ibu kota.

Pada masa sama, NGO berkenaan tidak teragak-agak turun ke jalanan membuat bantahan ke atas tujuh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sekiranya berterusan memberi tekanan kepada kerajaan atas larangan itu.

Antara NGO yang memberi akuijanji itu ialah Persatuan Kebajikan Inspirasi Negara, Malaysia Hindu Dharma Mamandram, Pertubuhan Perpaduan dan Integrasi Hindu Malaysia (MAHA), World Hindu Federation – Malaysia Chapter dan Dewan Perniagaan Minoriti (MBC).

Turut bersama, Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (Pembakti), Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Murni, Persatuan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (CPCS), Jaringan Hindu Malaysia (JHIMMA) dan Pertubuhan Kebajikan Senibudaya dan Sahsiah (MyCulture).

Menurut wakil NGO itu yang juga Penasihat Persatuan Kebajikan Inspirasi Negara, Vasantha Kumar, semalam mereka menyerahkan memorandum menyokong ketegasan Menteri Wilayah persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim atas pengharaman penjualan arak keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur

Kata beliau, mereka percaya keputusan itu dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tujuan kami datang ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyokong Shahidan dan pada masa sama membantah serta tidak bersetuju tuntutan tujuh Ahli Parlimen pembangkang yang mengatakan arak adalah hak asasi bukan Islam.

“Kamu cukup sedih dengan Ahli Parlimen pembangkang ini. Merujuk Perlembagaan Persekutuan, tidak ada dalam mana-mana artikel menyatakan arak adalah hak asasi bukan Islam. Perbuatan mereka ini seolah menyokong tauke arak yang meraih keuntungan berlipat ganda hasil penjualan arak.

“Agama Hindu melarang pengambilan arak seperti mana agama lain termasuk Islam. Kitab suci agama Hindu seperti Mahabaratha, Ramayana dan Thirukural melarang pengambilan arak,” katanya kepada media, hari ini.

Kata Vasantha, tindakan diambil menteri untuk mengharamkan penjualan arak keras adalah langkah yang sangat dialukan oleh semua agama di negara ini.

Wakil daripada 11 NGO bukan Islam membuat akujanji menyokong kerajaan berterusan melarang penjualan arak keras di bangunan DBKL.

Kata beliau, mana-mana individu atau kumpulan yang menggalakkan arak kononnya menilai arak itu adalah hak asasi adalah mereka yang bertentangan dengan ajaran agama Hindu.

“Sejak 40 tahun kebelakangan ini, persatuan berasaskan agama Hindu, kaum Tamil dan bangsa India telah melancarkan beberapa pergerakan untuk mengharamkan arak berharga murah dan arak beralkohol tinggi.

“Perjuangan NGO-NGO ini sedikit sebanyak membuahkan hasil. Ini jelas kelihatan dalam pengumuman Shahidan sebagai satu kejayaan yang kami tunggu-tunggu selama ini,” katanya.

Menurutnya, NGO itu amat menyokong pengumuman tersebut dan berharap Shahidan tidak tunduk kepada tekanan segelintir anasir yang bergelar wakil rakyat.

Kata beliau, gejala sosial dan tabiat meminum arak adalah faktor utama kehancuran kebahagiaan institusi keluarga dengan data menunjukkan lapan peratus dalam kalangan komuniti India ketagih arak.

“Tanggungjawab membela institusi keluarga bahagia terletak kepada wakil rakyat, bukan menghancurkan institusi keluarga, yang seterusnya memberi kesan kepada pembangunan negara.

“Badan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan Malaysia pada tangga ke-10, jika kerajaan membenarkan penjualan arak berleluasa mungkin Malaysia terletak tangga paling atas di dunia,” katanya. – MalaysiaGazette