Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Tidak masuk akal seorang wakil Melayu beragama Islam mempersoalkan ketidakadilan pengagihan kek ekonomi negara dengan mencadangkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dikaji semula.

Menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim itu sebagai menghina hak keistimewaan orang Melayu dan peribumi, Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pihaknya akan mengambil tindakan secara perundangan.

Katanya, Wira Putra terkejut dengan kenyataan itu yang dibangkitkan di Parlimen ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022, Hassan telah menyentuh perkara sensitif bagi orang Melayu di negara ini.

“Kita melihat tindakan ini ibarat menghina hak keistimewaan orang Melayu dan peribumi yang telah pun termaktub dan dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai perkara sensitif yang tidak wajar disentuh dan dipertikaikan.

“Wira Putra telah menyerahkan video rakaman ucapan perbahasan itu dan ulasan pandangan parti ini kepada peguam serta Biro Aduan Awam dan Undang-undang Putra untuk meneliti, mengkaji dan memperhalusi dari sudut undang-undang.

“Ini kerana Fasal 153 adalah perkara sensitif yang dilindungi Akta Hasutan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam perbahasan Khamis lalu, Hassan dilaporkan berkata, pengagihan kek ekonomi negara tidak adil kerana meminggirkan masyarakat India dan Cina, yang mana pada beliau perlu diagihkan sama rata antara Melayu dan kaum lain.

Menurut Nasrul Ali Hasan, Wira Putra juga akan membuat laporan polis berhubung isu itu kerana menganggap tindakan itu tidak boleh dibiar begitu sahaja.

Katanya, kenyataan itu akan memberi kesan besar kepada orang Melayu, yang boleh mencacatkan jati diri mereka, selain mengganggu gugat keharmonian negara. – MalaysiaGazette