Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Walau ada percubaan melemahkan semangat jentera Barisan Nasional (BN), ia tidak sedikit pun melunturkan keyakinan mereka terhadap perjuangan parti.

Malah, menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika ini seluruh jentera BN di Melaka sedang giat berkempen tidak kira siang atau malam, hujan mahupun panas.

“Saya sangat terharu mendengar perkhabaran tersebut. Mereka terus bergerak tanpa henti. Itulah sebuah jasa dan bakti yang amat besar ertinya.

“Bukan sahaja kepada Melaka, malah seluruh rakyat Malaysia yang tidak sabar untuk menyaksikan langkah pertama BN mengembalikan kestabilan demi kemakmuran bermula di Melaka. Inshaa-Allah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya malam tadi.

Beliau kini berada di Jerman bagi menjalani rawatan masalah slip disc yang dialaminya dan berlepas ke negara itu pada 30 Oktober lalu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonannya untuk mendapatkan semula pasport untuk ke luar negara.

Kata Ahmad Zahid, beliau dari kejauhan sentiasa mendoakan kesejahteraan seluruh jentera BN yang bertungkus lumus memenangkan calon parti, calon rakyat tanpa mengenal erti penat lelah.

“Semoga sentiasa dalam perlindungan Yang Maha Agung tidak kira di mana mereka berada di seluruh negeri Melaka, demi sebuah perjuangan yang murni dan penuh bermakna.

“Ketahuilah, seluruh jentera BN yang terlibat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini akan tercatat dalam sejarah sebagai pemangkin kepada kebangkitan semula BN,” katanya.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kebangkitan BN untuk kembali sebagai parti teras mentadbir negara dan negeri-negeri seperti kegemilangan masa lalu yang sangat dirindui rakyat Malaysia.

Beliau menaruh keyakinan, perjuangan itu sebuah perjuangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang tulen bagi menegakkan kebenaran demi masa depan rakyat dan negara.

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, berkatilah rahmatilah redhailah perjuangan seluruh jentera BN di Melaka. Perkukuhkanlah keteguhan hati-hati mereka. Berilah mereka kekuatan.

“Jauhilah jentera BN kami daripada segala marabahaya dan penyakit. Lindungilah keselamatan mereka dan peliharalah kesihatan mereka.

“Permudahkanlah urusan mereka untuk menjulang kebangkitan BN dalam PRN Melaka demi kemaslahatan dan masa depan Malaysia tanah air kami,” doanya. – MalaysiaGazette