Ikmal Hisham Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kuasa menarik balik semula perintah berkurung bagi kawasan Pantai Timur Sabah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, walaupun perintah berkurung ditarik balik, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan operasi rondaan dan pengawasan 24 jam dan tujuh hari seminggu tanpa gagal di kawasan itu.

Menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Abdul Aziz Jamman (Warisan), beliau berkata, lanjutan daripada itu, situasi keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah semakin baik.

Selain itu, katanya, langkah kawalan yang diambil itu turut meningkatkan keyakinan penduduk sekitar melalui kehadiran pasukan keselamatan secara berterusan.

Mengenai penubuhan Markas Pemerintahan Medan Timur di Kuching, Sarawak, Ikmal Hisham menjelaskan, tujuannya untuk mempertahankan dua wilayah secara serentak.

Ahli Parlimen Tanah Merah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, peranan markas itu adalah memerintah Divisyen Pertama Infantri di Sarawak dan Divisyen Kelima Infantri di Sabah.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini, aspek memperkasakan keselamatan keseluruhan Sabah sama ada di Pantai Barat mahupun di Pantai Timur negeri itu turut mengambil kira aspek perancangan ATM secara keseluruhannya.

Sebelum ini, pertahanan daratan di Sabah dan Sarawak hanya dipertanggungjawabkan kepada sebuah Divisyen Infantri iaitu Divisyen Pertama Infantri yang berpangkalan di Kuching.

“Sabah hanya dipertahankan oleh sebuah Briged Infantri sahaja iaitu Briged Kelima Infantri yang mempunyai ketumbukan lebih kecil.

“Bagaimanapun, selaras dengan keperluan keselamatan semasa, pertahanan daratan keseluruhan Sabah kini dipertanggungjawabkan kepada Divisyen Kelima Infantri yang berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

“Pasukan Tentera Darat telah diaturgerakkan untuk tugas operasi sebagai elemen hadapan di sempadan Sabah bagi melindungi Kota Kinabalu sebagai Centre of Gravity (COG),” katanya dalam sesi menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2022 di Parlimen, hari ini.

Kata Ikmal Hisham lagi, Briged Ke-13 Infantri berpangkalan di FELDA Sahabat, Lahad Datu telah diaturgerakkan sebagai elemen hadapan bagi mempertahankan kawasan Pantai Timur Sabah.

Ujar beliau, terdapat juga pasukan infantri yang diaturgerak sebagai elemen hadapan di sempadan darat Malaysia – Indonesia di pedalaman Sabah.

Briged Kelima Infantri berpangkalan di Kem Paradise, Kota Belud pula bertindak sebagai elemen kedalaman yang sentiasa bersiap sedia membantu elemen hadapan di persempadanan sekiranya diperlukan dalam mempertahankan Sabah daripada sebarang bentuk ancaman.

“Kesimpulannya, dalam Bajet RMK-12 ini, Kementerian Pertahanan telah mengambil kira semua sudut potensi ancaman keselamatan dalam merangka keperluan pembinaan Kem Tentera Darat di Sabah bagi menangani pelbagai bentuk ancaman,” katanya. – MalaysiaGazette