Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk meluluskan pengambilan atau penjualan mana-mana bahagian Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada sebarang entiti perniagaan swasta.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat, hak dan pengoperasian LTSAAS itu kekal di bawah pengendalian, pengurusan, penyelenggaraan dan pengawalan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Katanya, hak itu diberikan menerusi Perjanjian Pajakan bagi tujuan berkenaan sehingga tahun 2034 (operating agreement) dan 2067 (lease agreement).

“MAHB bertanggungjawab untuk mengembangkan LTSAAS ini sebagai hab aeroangkasa antarabangsa sepertimana yang diputuskan Jemaah Menteri pada 2 Mac 2005,” katanya menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2022.

Soalan itu dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh -kedua-duanya dari Pakatan Harapan (PH) berhubung pengambilalihan LTSAAS oleh entiti swasta.

Berhubung soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH) mengenai cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Ka Siong berkata, Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 27 Oktober tahun lalu hanya memberi kelulusan prinsip terhadap cadangan projek pembangunan lapangan terbang itu.

Menurut beliau, kelulusan prinsip itu tertakluk kepada permohonan mendapatkan pertimbangan daripada Kementerian Pengangkutan dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Sehingga kini, katanya, tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan aerodrom bagi projek KXP seperti mana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.

“Oleh itu, kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan KXP hanya akan dipertimbangkan apabila kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) telah disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan agensi kerajaan yang lain.

“Antaranya, Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan sebagainya bagi memastikan cadangan pembinaan KXP benar-benar berdaya maju, mampan dan memenuhi keperluan teknikal ditetapkan oleh CAAM dan MAVCOM,” katanya.

Berhubung peruntukan RM209 juta untuk membiayai kos pengangkutan udara di kawasan luar bandar termasuk di Long Pasia dan Kudat, beliau berkata, peruntukan itu bagi membiayai operasi Perkhidmatan Pengangkutan Udara Luar Bandar (RAS) yang disediakan oleh MASwings terutama untuk penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Dalam hal ini, kerajaan telah menandatangani satu perjanjian baharu dengan syarikat penerbangan MASwings bagi meneruskan penyediaan operasi RAS di Sabah dan Sarawak untuk tempoh enam tahun dari 2019 hingga 2024.

“Sebanyak 40 RAS yang meliputi 13 laluan menggunakan lapan pesawat jenis ATR 72-500 dan 27 laluan menggunakan enam pesawat jenis Twin Otter Viking DHC6-400.

“Laluan ini melibatkan 12 lapangan terbang dan 15 padang terbang di Sabah dan Sarawak, termasuk laluan ke destinasi pedalaman seperti Bario, Ba’Kelalan, Marudi, Long Akah, Long Lellang dan Kudat,” jelas beliau. – MalaysiaGazette