Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal Covid-19 positive Deputy Minister
Wan Ahmad Fayshal

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan rang undang-undang baharu bagi menangani isu perkauman.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, ia kerana undang-undang sedia ada sudah memadai.

Katanya, kepada sesiapa yang dengan sengaja mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan menggugat perpaduan serta keharmonian rakyat berkaitan isu perkauman, boleh disiasat dan didakwa.

Menurut beliau, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Mereka juga boleh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Selain itu, peruntukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak  membangkitkan pecah keamanan; dan Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] iaitu kesalahan menghasut turut digunakan.

“Kita berpendapat tiada keperluan untuk menggubal satu undang-undang seperti Undang-Undang Keharmonian Kaum, yang mana undang-undang sedia ada selari dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang mementingkan integrasi nasional, kesatupaduan, keharmonian, persefahaman dan kestabilan,” katanya di Parlimen hari ini. – MalaysiaGazette