Awang Hashim

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim mempertahankan tindakannya menegur seorang wartawan yang bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris.

Menjawab celahan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, beliau berkata, bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan sebagai warganegara, perlu menggunakannya dalam semua sektor.

Kecuali, katanya, jika seseorang itu tidak dapat bertutur bahasa kebangsaan dengan baik, boleh diajukan pertanyaan atau soalan dalam bahasa Inggeris.

“Memang baguslah saya boleh menjawab soalan ini. Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan, jadi kita perlu menggunakannya dalam semua sektor, kecuali daripada mereka yang tidak faham bahasa Malaysia, kita boleh (guna) bahasa Inggeris

“Kalau kita rakyat Malaysia, kita kena setia kepada Malaysia dan gunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan kerana tertakluk dalam perlembagaan,” katanya di Parlimen, hari ini.

Perbuatan beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang dikatakan mengasak seorang wartawan baru-baru ini, menjadi perhatian beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Idris yang juga Naib Presiden Pas telah menjawab secara ringkas di Parlimen Isnin lalu, selepas beliau dikatakan menempelak wartawan berkenaan yang bertanyakan isu penutupan kedai nombor ekor oleh kerajaan Kedah.

Apabila ditanya oleh wartawan itu mengenai rasa khuatir kalangan masyarakat terhadap keputusan menyekat aktiviti perjudian, Idris menyoal sama ada beliau (wartawan) boleh menerima jika suaminya ‘kaki judi.

Manakala, Awang mahu tahu sama ada wartawan itu warga Malaysia selepas menegurnya kerana bertanya soalan dalam bahasa Inggeris. – MalaysiaGazette