Nik Saiful Adli (dua dari kiri) bersama seorang daripada empat penduduk menerima pembatalan notis kompaun dari PKD Tumpat. Turut bersama peguam Azwan (kiri) dan Asroy Azmi (kanan).

KUALA LUMPUR – Empat penduduk Kampung Slow Teliar, Bunut Susu, Pasir Mas di Kelantan yang dikenakan kompaun atas kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran pada 21 Jun lalu didapati tidak bersalah dan notis kompaun ke atas mereka dibatalkan serta merta.

Mereka yang berusia 40 hingga 60 tahun itu masing-masing dikenakan saman RM10,000 oleh polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat yang melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) di kampung itu, dipercayai dalam daerah Pasir Mas.

Tidak puas hati dengan notis kompaun kerana mendakwa mereka berada dalam daerah Pasir Mas ketika tindakan itu dikenakan, Zaleha Yusof, Nuatikah Harun, Abdul Razak Su dan Mohd Ghazali mengadu kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohamed Noor dan Naibnya, Asroy Azmi.

Perkara itu kemudian diserahkan kepada Pengerusi Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO Kelantan (SPMPUMK), Lt. Kol. Bersekutu (PA), Nik Saiful Adli Burhan untuk tindakan lanjut.

Menurut Nik Saiful Adli, setelah meneliti keterangan empat anak guamnya, SPMPUMK dan rakan peguam, Mejar Bersekutu (PA) Azwan Hussain pada 27 Jun lalu bertemu dengan Penolong Pegawai PKD Tumpat untuk membuat rayuan.

Kira-kira empat bulan kemudian, pada 7 November lalu, PKD Tumpat memaklumkan kes itu telah dirujuk kepada Pejabat Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

Kata beliau, pada 24 Ogos lalu, Pejabat Peguam Negara membuat keputusan untuk membatalkan notis kompaun berkenaan atas alasan teknikal.

“Hasil rayuan itu, Pejabat Tanah turun ke lokasi SJR untuk membuat ukuran sempadan dan mendapati keempat penduduk itu ketika dikenakan notis kompaun masih berada dalam daerah Pasir Mas.

“Kedudukan jarak antara kedua tempat itu kira-kira 200 meter bersempadan daerah Pasir Mas-Tumpat dan anak guam kami bergerak tidak melebihi jarak dibenarkan iaitu berhadapan rumah mereka di Kampung Slow Teliar.

“SJR yang dibuat oleh polis IPD Tumpat itu berada dalam kawasan Kampung Slow Teliar dalam daerah Pasir Mas, bukan Kampung Bukit, Wakaf Bharu dalam daerah Tumpat sebagaimana notis kompaun,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Nik Saiful Adli, semalam semua empat anak guamnya yang dituduh melakukan kesalahan merentas sempadan secara rasmi menerima perkhabaran gembira itu daripada Pejabat Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

“Terdapat kekhilafan semasa notis kompaun dikeluarkan berkenaan tempat sebenar SJR dibuat dan keterangan anak guam kami lebih tepat memandangkan mereka penduduk tempatan yang mahir dengan kedudukan geografi kawasan tersebut.

“Kami percaya notis kompaun itu tersilap dari maklumat lokasi menyebabkan ianya tidak sah di sudut undang-undang dan tidak wajar dikenakan ke atas mereka memandangkan tiada kesalahan dilakukan.

“Kita tahu bebanan tugas pihak berkuasa yang begitu berat dalam menangani pandemik Covid-19 dan kami sentiasa menyokong sebarang usaha dalam membantu pihak berkuasa bagi menjamin pematuhan SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya. – MalaysiaGazette