Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan pelan JENDELA Fasa 1 yang bermula September tahun lalu memberi fokus kepada peluasan liputan gentian optik dan pembangunan infrastruktur digital, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, ia termasuk pembinaan tapak baharu dan menaiktaraf stesen pemancar sedia ada kepada 4G bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan di seluruh Negara.

Katanya, pencapaian sehingga 30 September lalu bagi pelaksanaan itu ialah penambahan 1.47 juta premis daripada 4.96 juta premis yang menjadikan jumlah keseluruhan 6.43 juta premis di seluruh negara telah disediakan dengan akses gentian optic.

“Ini menyaksikan kelajuan jalur lebar mudah alih meningkat daripada 25Mbps kepada 31.34Mbps dan peluasan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 94.39 peratus di kawasan berpenduduk sehingga suku kedua 2021.

“Antara inisiatif untuk menambahbaik infrastruktur digital di Sabah dan Sarawak melalui JENDELA Fasa 1 ialah dua tapak baharu 4G telah siap daripada jumlah 29 tapak baharu 4G yang dirancang di Tuaran.

“Ini diikuti 103 kerja naik taraf 4G telah siap dilaksanakan daripada 126 kerja naik taraf 4G yang dirancang dan 9,310 premis telah siap tersedia dengan akses gentian optik berkelajuan gigabit, melebihi perancangan awal iaitu 3,679 premis,” katanya.

Beliau berkata, bagi kawasan yang terdapat perancangan pembinaan menara baharu dan penaiktarafan stesen pemancar komunikasi sedia ada kepada teknologi 4G, melalui Pelan JENDELA Fasa 1 dijangka siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2022.

Menjawab soalan mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Annuar menjelaskan, kementeriannya bersama syarikat telekomunikasi telah menjalankan pelbagai program dan inisiatif supaya rakyat terus berpeluang menikmati perkhidmatan internet.

Katanya, terdapat 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di kawasan miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar boleh dimanfaatkan orang ramai terutama pelajar dalam memastikan proses PdPR berjalan lancar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan besar seperti SPM dan STPM. – MalaysiaGazette