Peruntukan berjumlah RM250 juta telah diluluskan kerajaan bagi kerja membina, menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara jalan di perkampungan Orang Asli sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peruntukan berjumlah RM250 juta telah diluluskan kerajaan bagi kerja membina, menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara jalan di perkampungan Orang Asli sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dalam Rolling Plan 1 RMK-12, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKAO) sedang melaksanakan jalan perhubungan desa dari Kampung Simoi Lama ke Pos Lenjang.

Menurut Timbalan Menteri II, Datuk Hasbi Habibollah, pelaksanaan projek itu melibatkan kos kira-kira RM30 juta.

Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dilantik sebagai agensi pelaksana projek berkenaan yang dijangkakan siap tahun 2025 dengan status semasa projek ialah 35 peratus sepanjang 11.35 kilometer.

“Pada tahun 2021, JAKOA telah melaksanakan kerja menaiktaraf dan menyelenggara jalan sedia ada sepanjang lima kilometer di Pos Sinderut dengan kos RM1.05 juta dan dijangka siap tahun ini.

“Bagi jalan di Pos Terisu, Pos Lemoi dan Pos Titom pula akan dipertimbangkan pelaksanaannya tahun depan menggunakan peruntukan di bawah projek menaiktaraf, membaikpulih dan menyelenggara jalan di perkampungan Orang Asli,” katanya di Parlimen, hari ini. – MalaysiaGazette