Pemandangan di sebuah jalan raya di New Delhi yang berjerebu teruk. foto Getty Images

NEWS DELHI – Semua sekolah dan kolej di ibu negara India ditutup untuk satu tempoh yang belum ditetapkan ekoran tahap pencemaran udara yang semakin teruk.

Kerja pembinaan juga telah diharamkan sehingga 21 November, tetapi pengecualian telah dibuat untuk projek berkaitan pengangkutan dan pertahanan.

Hanya lima daripada 11 loji janakuasa berasaskan arang batu di bandar ini telah dibenarkan beroperasi.

Jerebu toksik telah menyelubungi New Delhi sejak perayaan Deepavali.

Paras PM2.5 – zarah kecil yang boleh menyumbat paru-paru manusia – di New Delhi jauh lebih tinggi daripada garis panduan keselamatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beberapa bahagian di bandar ini merekodkan angka hampir atau lebih tinggi daripada 400 pada hari Selasa, yang dikategorikan sebagai ‘teruk’.

Bacaan indeks kualiti udara atau AQI antara sifar dan 50 dianggap ‘baik’, dan antara 51 dan 100 adalah ‘memuaskan’.

Gabungan faktor seperti pelepasan kenderaan dan industri, habuk dan corak cuaca menjadikan New Delhi ibu kota paling tercemar di dunia.

Udara menjadi toksik terutamanya pada musim sejuk apabila petani di negeri jiran membakar tunggul tanaman.

Ditambah pula dengan bunga api semasa perayaan Deepavali, yang berlaku pada masa yang sama, memburukkan kualiti udara.

Kelajuan angin yang rendah juga memainkan peranan kerana ia memerangkap bahan pencemar di atmosfera yang lebih rendah.

Tahun ini, pencemaran menjadi sangat teruk sehingga mencetuskan amaran keras daripada Mahkamah Agung India, yang mengarahkan kerajaan negeri dan persekutuan mengambil langkah “segera dan kecemasan” untuk menangani masalah itu.

Selepas pendengaran itu, satu mesyuarat telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara New Delhi dan langkah kecemasan telah diumumkan

Langkah lain yang diumumkan oleh panel termasuk larangan kemasukan trak di New Delhi dan negeri jiran Uttar Pradesh, Punjab, Haryana dan Rajasthan sehingga 21 November, kecuali yang membawa komoditi penting.

Panel itu juga mengarahkan New Delhi dan negeri lain untuk “menggalakkan” bekerja dari rumah bagi 50% pejabat swasta yang berada di ibu negara dalam tempoh tersebut. – BBC