Ahmad Idham Ahmad Nadzri

KUALA LUMPUR – Pelantikan dua pelakon sebagai wakil kepada Menteri Luar Negeri adalah salah satu strategi penting bawah kerangka dasar luar negara menerusi strategi Diplomasi Budaya.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, dua artis yang dilantik itu ialah Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Setiausaha Kebudayaan kepada Menteri Luar Negeri dan Datuk Seri Eizlan Yusof selaku Perunding Kreatif kepada Menteri Luar Negeri.

Kata beliau, pelantikan berkuatkuasa 1 November lalu itu menunjukkan strategi kuasa halus perlu diberi tumpuan dan dititikberatkan oleh kerajaan melalui usaha diplomasi awam dan kebudayaan.

Berkenaan status perjawatan mereka, katanya, pelantikan Dr. Ahmad Idham menggunakan peruntukan perjawatan sedia ada di Pejabat Menteri Luar Negeri, yang setaraf dengan Gred 54 di sektor kerajaan.

“Manakala Eizlan telah menawarkan khidmatnya sebagai Perunding Kreatif kepada Menteri Luar Negeri secara khidmat sukarela,” katanya dalam penggulungan perbahasan Bajet 2022 di Parlimen, petang ini.

Beliau menyeru lebih ramai Keluarga Malaysia untuk turut menawarkan national service demi membangunkan negara secara bersama tanpa berbelah bahagi.

Justeru, tegasnya, tiada kos tambahan kepada kerajaan dengan kedua-dua pelantikan itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dalam waktu terdekat ini, Jawatankuasa Seni dan Budaya (ARCA) akan ditubuhkan, yang akan bertindak menyelaraskan aspirasi kerajaan dalam usaha mempromosi dan menyokong hasil seni dan khazanah negara di persada antarabangsa.

“Fungsi ARCA ini dibuat melalui penggemblengan usaha rentas kementerian dan agensi, termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Badan Warisan Malaysia, Jabatan Muzium Negara dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, kedua mereka akan membantu ARCA dalam menggubal strategi pemasaran karya seni tanah air yang lebih bersasar serta mengenalpasti peluang khusus dalam industri seni dan kreatif yang boleh diterokai oleh negara.

“Selari dengan pendekatan keseluruhan kerajaan, mereka juga akan dibantu oleh Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di seluruh dunia dalam usaha ini.

“Sebagai permulaan, kerajaan menyasarkan lima negara yang boleh dianggap sebagai pusat kebudayaan atau mempunyai industri kreatif yang mantap iaitu Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Turki dan United Kingdom.

“Langkah ini sejajar dengan tiga objektif yang digariskan di bawah Kerangka Dasar Luar Negara, iaitu pemerkasaan Kementerian Luar Negeri, meningkatkan kolaborasi antara agensi kerajaan dan meningkatkan penglibatan masyarakat awam dalam penggubalan Dasar Luar Negara,” katanya. – MalaysiaGazette