Datuk Seri Mahdzir Khalid. Foto HAFIZ SOHAIMI,01 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Jalan yang telah didaftarkan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) tidak diselenggara oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Mahdzir Khalid berkata, jalan itu tidak termasuk dalam skop kerja Jalan Perhubungan Desa (JPD).

Katanya, sepanjang tahun ini, Perak diperuntukkan RM9.73 juta di bawah JPD serta RM6.49 juta di bawah Program Ameniti Sosial (PAMS).

Daripada peruntukan itu, empat projek JPD berjumlah RM500,000 dan 19 projek di bawah PAMS berjumlah RM730,000 telah dilaksanakan di kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Mengenai soalan berkenaan status terkini program menaiktaraf jalan di Parlimen Tenom, beliau berkata, terdapat lima projek jalan luar bandar di kawasan berkenaan iaitu di bawah RP-1, RMK-12 tahun 2021 dengan kos keseluruhan RM554 juta.

“Daripada jumlah itu, satu projek telah siap pelaksanaan pada April lalu iaitu projek jalan ke Mesej Mangalias, Tenom, Sabah, manakala projek membina jalan Ulu Tomani sedang dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap 2023.

“Projek naik taraf jalan Kemabong-Rundum pula dalam peringkat memuktamadkan tender dan Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada Disember ini.

“Begitu juga projek menaik taraf jalan Tumantalik dan projek baru naiktaraf jalan Ulu Tepoh Pamilaan-Pamilaan-Pengalat sedang dalam proses lantikan perunding serta penentuan skop oleh JKR Sabah,” katanya dalam sesi penggulungan di Parlimen hari ini.

Menurut Mahdzir, Ahli Parlimen Baram pula bertanyakan status pembinaan jalan Pekan Lapok ke Long Ayak.

Katanya, permohonan projek membina jalan dari Lapok Ke Long Teran, Baram, Bahagian Miri, Sarawak telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU JPM) di bawah RP-2, RMK-12 Tahun 2022.

Bagaimanapun, menurut beliau, ia tidak tersenarai dalam projek yang diluluskan dalam Bajet 2022 dan kementeriannya akan mengangkat semula permohonan untuk dipertimbangkan dalam RP-3, RMK-12, tahun 2023.

Menjawab soalan Sepanggar, beliau berkata, kementeriannya mengambil maklum keperluan masyarakat luar bandar terutama di Sabah yang masih memerlukan kemudahan infrastruktur khususnya kemudahan elektrik, air dan jalan raya yang kebanyakannya masih jauh ketinggalan.

“Pada 2020 sebanyak RM271.25 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan dan naik taraf jalan raya serta jambatan bagi Sabah dan daripada jumlah itu, RM270.42 juta atau 99.69 peratus telah dibelanjakan.

“Bagi Bekalan Air Luar Bandar (BALB) pula, pada 2020, sebanyak RM200.4 juta peruntukan telah dibelanjakan yang memberi manfaat kepada 3,471 rumah atau akaun baharu.

“Manakala bagi Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), peruntukan asal 2020 sebanyak RM216juta dan peruntukan dipinda RM142.1juta,” katanya.

Beliau menjelaskan, daripada peruntukan itu, RM124.3juta telah dibelanjakan sehingga penghujung tahun 2020 dengan peratusan perbelanjaan BELB sebanyak 88 peratus.

Jelasnya, peruntukan dipinda yang lebih rendah daripada peruntukan asal adalah melalui beberapa siri pelarasan peruntukan dan sekatan yang telah dibuat berdasarkan kemajuan semasa pelaksanaan BELB di Sabah dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang telah dilaksanakan di seluruh negara.

Kata Mahdzir, kementeriannya komited dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan setiap penduduk di luar bandar mendapat bekalan air bersih dan terawat, bekalan elektrik 24 jam serta akses jalan luar bandar. – MalaysiaGazette