potholes KL Kuala Lumpur
Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Perkataan ‘dahsyat’ dan ‘hebat’ yang digunakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 petang ini, menarik perhatian Dewan Rakyat.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022, beliau memaklumkan akan menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen yang hadir sahaja.

‘Sila berada dengan dahsyatnya’, ‘Saya telah menjawab dengan dahsyatnya’, ‘kita menghadapi masalah yang dahsyat’ dan ‘telah berbincang dengan hebatnya’ antara perkataan yang diselitkan dalam ucapannya.

Beliau memulakan perkataan itu dengan berkata, “Labuan, sila berada dengan dahsyatnya di sana, saya akan menjawab soalan Labuan.

Perkara itu dibangkitkan Shahidan ketika membaca satu persatu nama Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2022 yang menyentuh mengenai Kementerian Wilayah.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada 11 Ahli Parlimen yang menyentuh isu berkaitan kementerian itu berada dalam Dewan Rakyat dan ketika menyebut nama Labuan, Ahli Parlimen itu mengangkat tangan tanda ada.

Dalam penggulungan itu, Ahli Parlimen Bukit Bintang bangun mencelah meminta Shahidan menjawab soalannya berkaitan pembinaan bangunan tertinggi di ibu kota.

Shahidan menjawab, “Saya telah menjawab dengan dahsyatnya soalan Bukti Bintang dalam sesi Jawab Lisan pagi tadi. Saya kekal dengan jawapan itu pada sesi penggulungan ini,” katanya.

Berhubung celahan Labuan yang bertanyakan mengenai Bazar dan UTC di kawasan itu, jawapan Shahidan sekali lagi mendapat perhatian apabila berkata, “Berhubung UTC dan bazar, saya telah berbincang dengan hebatnya dan dengan itu saya telah menghantar timbalan saya untuk meninjau kali kedua mengenai masalah berbangkit.

Ahli Parlimen Arau itu juga turut menarik perhatian apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mencelah mengenai arak.

Katanya, “kita menghadapi masalah yang dahsyat berhubung dengan samsu haram dan arak ini,” katanya. – MalaysiaGazette