potholes KL Kuala Lumpur
Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah meluluskan cadangan pembangunan perdagangan di atas Lot 635, Seksyen 55, Jalan Scott, Brickfields, Kuala Lumpur melalui Perintah Pembangunan bertarikh 27 Januari 2016.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kelulusan itu dikeluarkan kepada Tetuan Aston Villa Sdn. Bhd.

Cadangan itu, katanya, merupakan pembangunan perdagangan dengan nisbah plot 1:6.5 untuk membina satu blok pejabat 32 tingkat dengan 10 tingkat tempat letak kereta mekanikal dan satu unit pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), beliau berkata, ia turut melibatkan cadangan untuk menukar kegunaan tanah daripada kediaman kepada perdagangan.

“Tapak tersebut telah bertukar milik kepada Tetuan Teringin Sentral Sdn. Bhd dan Pindaan Perintah Pembangunan telah diberikan pada 31 Mac 2021 bagi cadangan pembangunan pada nisbah plot yang sama iaitu 1:6.5.

“Pindaan ini melibatkan satu blok Pejabat Kecil (SOHO), Pejabat Rumah, 38 tingkat yang mengandungi 27 tingkat SOHO, 10 tingkat tempat letak kereta, 3 tingkat kemudahan rekreasi dan 1 unit pencawang elektrik.

“Untuk makluman, kelulusan intensiti pembangunan ini dengan nisbah plot 1:6.5 adalah dengan mengambilkira beberapa perkara,” katanya dalam sesi Jawab Lisan di Parlimen, pagi ini.

Antara perkara itu ialah, kawasan sekitar tapak cadangan telah diluluskan untuk kegunaan Pembangunan Bercampur (MX).

Kedua, infrastruktur sedia ada di Jalan Scott dengan kelebaran jalan 80 kaki yang boleh menampung jumlah kenderaan daripada cadangan pembangunan itu.

Ketiga, sekitar tapak berkenaan terdapat kemudahan pengangkutan awam sedia ada iaitu KL Sentral (Komuter dan LRT) serta Stesen Monorel Tun Sambanthan. – MalaysiaGazette