Semua mangsa telah dibawa ke hospital di bandar Xanthi dan Komotini di timur laut Greece. -Foto Ekathimerini

GREECE – Pihak berkuasa Greece berkata seramai tujuh pendatang asing terbunuh dan lapan lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan dan terbabas berhampiran plaza tol lebuh raya di utara negara itu.

Polis berkata, kenderaan itu melalui lebuh raya dari kawasan sempadan timur laut Greece dan Turki ke arah bandar utama di utara Thessaloniki apabila ia terbabas pada tengah malam, lapor ABC News.

Kenderaan itu dipandu laju dan pemandunya hilang kawalan ketika cuba keluar dari lebuh raya lalu melanggar pondok tol, kata polis.

Mereka yang cedera ialah empat lelaki warga Pakistan, seorang dari Afghanistan dan dua warga Nepal.

Pemandu warga Moldova berusia 35 tahun merupakan penyeludup, menurut polis.

Semua mangsa dibawa ke hospital di bandar Xanthi dan Komotini di timur laut Greece.

Tujuh orang yang terbunuh dalam nahas itu termasuk seorang wanita yang mana wewarganegaraan masih belum diketahui, kata pihak berkuasa.

Greece terletak di sepanjang salah satu laluan paling popular ke Kesatuan Eropah untuk mereka melarikan diri daripada kemiskinan dan konflik di Asia, Timur Tengah dan Afrika.

Laluan yang paling kerap digunakan untuk kemasukan rahsia ke Greece ialah lintasan laut yang pendek tetapi berbahaya dari pantai Turki ke pulau-pulau Greece yang berdekatan atau melintasi sempadan darat yang dikawal ketat antara Greece dan Turki. – ABC News