Foto Instagram Hafizh Syahrin.

KUALA LUMPUR – Pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah bakal bergelar bapa selepas hampir empat tahun berkahwin apabila dia dijangka menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Buat kali pertamanya, Hafizh berkongsi di laman Instagram keadaan isterinya Noor Suzana Abdul Manaf yang sarat mengandung ketika singgah bercuti di London selepas bertanding pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix Valencia di Sepanyol hujung minggu lalu.

Hafizh, 27, berkahwin dengan Suzana, seorang model pada Disember 2017.
Selepas berkahwin, isterinya sering menemani Hafizh ketika perlumbaan dan bertindak sebagai ‘umbrella girl’ yang menarik perhatian ramai kerana mengenakan pakaian wanita Muslimah berhijab.

“You + Me = Three, Alhamdulillah” tulis Hafizh ringkas dalam hantaran terbaharu di media sosial yang dihujani dengan ucapan tahniah daripada rakan, peminat dan warganet.

Bagaimanapun, satu lagi musim yang sukar dalam kelas perdana menyaksikan Hafizh kembali ke Moto2 pada 2020 bersama pasukan Aspar dan tahun ini dia menyertai pasukan berpangkalan di Belanda, RW Racing.

Pada perlumbaan akhir musim di Valencia hujung minggu lalu, Hafizh berjaya mengutip satu mata apabila menghuni tangga ke-15. Ia membolehkannya mengumpul sembilan mata keseluruhan musim ini selepas pencapaian terbaik tangga kesembilan di Mugello dan ke-15 di Le Mans, kedua-duanya Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast