Noor Hisham Abdullah PUI PUS Melaka Election SOP
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Pengundi berstatus individu dalam pemantauan (PUS) atau individu dalam siasatan (PUI) yang telah membuat penilaian risiko dan diberi kebenaran oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sahaja dibenarkan untuk ke tempat mengundi esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkhidmatan pengangkutan boleh disediakan oleh agensi atau parti politik untuk pengundi PUS atau PUI yang telah diluluskan permohonan oleh PKD untuk ke pusat pembuangan undi.

“Individu PUS/PUI atau di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) yang layak mengundi dan ingin keluar mengundi perlu memohon kebenaran terlebih dahulu daripada PKD untuk penilaian risiko.

“Permohonan boleh dibuat dengan mengisi Borang Permohonan Keluar Mengundi melalui capaian Google Form yang telah diedarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, pemandu mestilah individu yang telah lengkap divaksin dan tidak bergejala serta menyediakan kod MySejahtera di dalam kenderaan.

Jelas beliau, pemandu perlu memakai pelitup muka dua lapis, face shield, menggunakan sarung tangan dan memeriksa suhu penumpang terlebih dahulu.

“Hanya suhu normal di bawah 37.5 darjah celcius sahaja dibenarkan menaiki kenderaan selain perlu dilakukan proses nyahkuman ke atas kenderaan selepas setiap penghantaran.

“Selain itu, tidak dibenarkan makan atau minum di dalam kenderaan dan perjalanan hanya ke pusat pembuangan undi sahaja. Tidak dibenarkan untuk singgah di mana-mana lokasi,” ujarnya.

Tambah beliau, penumpang pula harus duduk di tempat duduk penumpang di belakang dan tidak bersentuhan dengan pemandu.

Manakala lain-lain prosedur operasi standard (SOP) untuk penumpang adalah sama seperti dinyatakan bagi pemandu, katanya.

Kata Noor Hisham lagi, hanya kenderaan khas dibolehkan untuk membawa PUS dan PUI manakala penggunaan bas adalah tidak dibenarkan.

“Sekiranya kereta sedan hanya seorang PUS atau PUI di bawa pada satu-satu masa kecuali PUS atau PUI dari satu keluarga dibenarkan dua orang.

“Bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) satu tempat duduk, hanya empat PUS atau PUI dari rumah yang sama dibenarkan menaiki kenderaan itu.

“PUS atau PUI hanya duduk di tempat duduk belakang, tingkap kereta hendaklah sentiasa dibuka dan tidak dibenarkan memasang penghawa dingin,” katanya.

Seramai 476,037 individu bakal mengundi pada Pilihan Raya Negeri Melaka esok.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran akan dibuka untuk proses pengundian. – MalaysiaGazette