Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak rasa tergugat dengan pengumuman calon Ketua Menteri dari Perikatan Nasional (PN).

Bahkan, BN dan UMNO sebagai parti yang pentingkan pencapaian melihat tidak susah bagi rakyat Melaka memilih siapa layak menjadi Ketua Menteri, kata Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

“Terima kasihlah PN memilih Mas Ermieyati dari PPBM untuk jadi Ketua Menteri kalau parti itu menang esok. Selamat berjuang Mas. Jelas, kita sudah ada tiga calon Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dari BN dan Adly Zahari mewakili Pakatan Harapan (PH).

“BN sebagai sebuah parti yang pentingkan pencapaian tidak rasa tergugat dengan pengumuman tersebut kerana jika dilihat pada senarai nama itu pun, kita percaya rakyat tidak susah untuk memilih siapa yang paling layak menjadi kapitan negeri.

“Sudah pasti (Datuk Seri) Sulaiman paling layak berdasarkan ‘track record’ yang baik kerana ia ditunjangi oleh dasar BN Melaka yang terbukti bukan sekadar janji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri Melaka.

Pemilihan itu pertama kali dalam sejarah negara seorang wanita ditawarkan calon bagi kerusi nombor satu negeri Melaka.

Menurut Syed Mohd Johan Rizal, masakan rakyat Melaka mahu si ‘katak’ menjadi Ketua Menteri yang mempunyai sejarah mengkhianati pengundi Parlimen Masjid Tanah dan BN yang tidak mudah dipadamkan.

Malah, tegas beliau, jelas ternyata Mas Ermieyati seorang pemimpin yang tamak kuasa dengan segala kedudukan dan jawatan.

“Bukankah dia sudah pun berada dalam Kabinet Menteri yang entah apa KPI dan pencapaiannya? Kali ini pula bertanding kerusi DUN bagi merebut pula jawatan Ketua Menteri Melaka.

“Sudahlah YB, fokus sajalah dengan amanah jawatan sedia ada dan tambahlah prestasi.

“Kita bukan tidak mahu melihat wanita jadi pemimpin nombor satu negeri, tapi bukan orang seperti Mas Ermieyati. Rakyat Melaka berhak dapat Ketua Menteri yang pentingkan urus tadbir membangun negeri dan menjana ekonomi,” katanya.

Menurut beliau, pilihan siapa menjadi Ketua Menteri merupakan urusan yang serius demi rakyat Melaka, bukan ‘part time’ dan seorang pemimpin yang tamak kuasa serta kedudukan.

“Adakah PN tidak ada calon yang lebih layak? Bagaimana dengan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang menjadi Pengerusi PPBM negeri ataupun pemimpin dari Pas yang cukup pengalaman sebagai sebuah parti yang berakar umbi?

“Saya cukup simpati dengan Mohd Rafiq yang merupakan pejuang asal PPBM, ditolak ketepi oleh pimpinan sendiri dan Pas pula sekadar dikudakan sebagai jentera suruhan PN semata-mata.

“Pemuda UMNO rasa agak pelik, kali ini Pas selaku rakan sekutu PN setakat ini diam membisu. Adakah Pas sudah ubah pendirian dengan rela menerima wanita menjadi khalifah negeri?,” soal beliau.

Ini kata Syed Mohd Johan Rizal, ketika pilihan raya kecil DUN Kajang sekitar 2014 dahulu, Pas bermati-matian menolak pencalonan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor. – MalaysiaGazette